PELANCONGANSELANGOR

Taman Rimba Bukit Lagong, lokasi riadah mendamaikan

OLEH AFIX REDZUAN

GOMBAK, 26 OKT: Taman Rimba Bukit Lagong merupakan antara lokasi eko-pelancongan terbaik di daerah Gombak.

Mula dibuka sejak 2013, hampir RM1.5 juta sudah dibelanjakan sehingga kini bagi menaiktaraf kemudahan menjadikan taman rimba terletak 15 kilometer dari bandaraya Kuala Lumpur ini terus menjadi perhatian pengunjung.

Ketua Unit Kemudahan Awam Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Mohd Nasrul Sahran berkata, kawasan ini dilengkapi dengan pelbagai kemudahan untuk mereka yang berminat menjalankan aktiviti lasak sambil menghayati kedamaian hutan.

“MPS menyediakan kemudahan buat pengunjung menganjurkan aktiviti seperti riadah, perkelahan, perkhemahan dan kem motivasi.

“Untuk 2018 sahaja, kita anggarkan hampir 6,000 orang sudah menjalankan aktiviti di sini daripada pelbagai agensi dan sekolah,” katanya.

Menurutnya, pihaknya berhasrat untuk menambah beberapa aktiviti lain selepas ini supaya lokasi penginapan lebih menarik.

Mohd Nasrul berkata, tiga pakej utama disediakan iaitu Korporat, Libur dan Pelajar dengan tawaran harga berpatutan selain menampilkan penginapan berkonsepkan kabin.

Bagi pakej korporat dengan penginapan tiga hari dua malam, bayaran RM115 dikenakan seorang di dalam kabin yang boleh memuatkan lima pengunjung dalam satu masa makanakala RM45 seorang untuk sebuah khemah yang mampu memuatkan lapan orang dalam satu masa.

Sebanyak 50 unit khemah berurkuran 10’x10′ disediakan dengan tawaran aktiviti seperti zip line, rock climbing atau abseiling.

Turut disediakan kemudahan lain seperti surau, sistem siar raya, dewan makan dan tandas.

Pakej untuk minimum 20 orang ini tidak termasuk makanan dan tanpa aktiviti tambahan.

Pakej Libur pula mengenakan harga RM170 untuk lima orang dalam sebuah kabin, manakala masing-masing RM1,500 bagi program hari keluarga dan sewaan majlis perkahwinan selama sehari.

Manakala pakej Pelajar dengan penginapan tiga hari dua malam, bayaran RM80 dikenakan seorang di dalam kabin yang boleh memuatkan enam pengunjung dalam satu masa.

Manakala, RM40 seorang untuk sebuah khemah yang mampu memuatkan lapan orang dalam satu masa.

Kemudahan seperti seperti surau, sistem siar raya, dewan makan dan tandas turut disediakan tetapi pakej ini sesuai untuk institusi pendidikan, agensi Kerajaan dan NGO dengan minimum 20 orang sahaja.

Mereka yang berminat boleh membuat tempahan dengan menghubungi 03-6120 2962 / 5800.


Pengarang :