NASIONAL

Anwar tidak campur urusan pemilihan KEADILAN

PORT DICKSON, 11 NOV: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan tidak mencampuri urusan pemilihan KEADILAN dan menyerahkan hal itu kepada Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP).

Ketua Umum KEADILAN itu berkata, walaupun ramai pihak yang mendesaknya untuk berbuat sesuatu tetapi parti sudah membuat keputusan apa sahaja urusan pemilihan akan dikendalikan JPP.

“Banyak orang minta saya campur tetapi saya tidak boleh. Ini yg tidak difahami termasuk media.

“Saya tidak boleh campur dalam urusan pemilihan selain memastikan jangan ada penipuan, ugutan dan saya minta JPP melantik orang yang betul-betul bebas dan bersih,” katanya lapor BERNAMA.

Terdahulu, beliau ditemui selepas merasmikan Kejohanan Wushu Piala Long Yi Port Dickson, di sini hari ini.

Katanya, walaupun mendapat maklumat berkaitan beberapa cubaan untuk mengganggu urusan pengundian, namun tiada apa yang boleh dibuat kerana ia di bawah bidang JPP.

“Saya minta calon untuk terima apa saja keputusan dengan baik dan dan kalau ada kes dianggap ada penipuan, kerosakan tablet atau ugutan, bawa kepada polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia atau Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia.

“Terima saja apa keputusan berdasarkan pandangan JPP dan saya minta pihak JPP meneliti tiap bantahan supaya benda itu diterima dengan baik,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Port Dickson menjangkakan keputusan penuh Pemilihan KEADILAN 2018 berkemungkinan akan lewat sedikit.

 


Pengarang :