PELANCONGANSELANGOR

Kesihatan, kebudayaan penting tonjol kepada pelancong asing

KUALA SELANGOR, 11 NOV: Kesihatan dan kebudayaan menjadi elemen penting dalam masyarakat untuk ditonjolkan kepada pelancong asing khususnya yang menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan utama.

EXCO Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan, Datuk Abdul Rashid Asari berkata, kedua aspek itu boleh dijadikan sebagai hab kepada kedatangan pelancong ke negeri ini.

“Saya turut terkesan dalam Belanjawan 2019 yang dibentangkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng pada 2 November lalu yang mana pelancongan kesihatan di Malaysia terus mendapat pengiktirafan negara luar.

“Kita juga cukup bertuah kerana kepelbagaian identiti etnik adalah aset tidak ternilai harganya kepada masyarakat dan negara.

“Menerusi kepelbagaian ini, kita mewarisi seni budaya yang penuh warna-warni dan menjadi sumber kekuatan kita sehingga dunia mengenali Malaysia sebagai negara berbilang kaum yang harmoni di bawah jenama ‘Malaysia Truly Asia’,” katanya lapor BERNAMA.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Karnival Sihat dan Kebudayaan bersama Hari Bertemu Pelanggan anjuran Majlis Daerah Kuala Selangor dengan kerjasama Worldwide Environment dan Ecoworld, di Eco Grandeur Puncak Alam di sini, hari ini.

Penganjuran karnival yang dihadiri lebih 1,000 tetamu itu bertujuan meningkatkan kesedaran dalam aspek kesihatan, kebudayaan dan keharmonian selain mengeratkan hubungan silaturahim antara warga Kuala Selangor yang berbilang kaum.

Antara aktiviti yang dijalankan dalam karnival sehari itu adalah senamrobik, kempen berjalan 10,000 langkah, jualan kendera saji (food truck), program kesedaran denggi, jualan produk kesihatan, pemeriksaan kesihatan percuma, persembahan tarian kuda kepang, silat, kumpulan muzik dan perasmian Bike Park, Eco Grandeur.


Pengarang :