ALAM SEKITAR & CUACASELANGOR

FOMCA: Sediakan alternatif sebelum haramkan guna straw plastik

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 12 NOV: Kerajaan Negeri disarankan menyediakan langkah alternatif terlebih dahulu sebelum mencadangkan negeri itu mengharamkan penggunaan straw plastik.

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, hal itu kerana pihaknya bimbang sekiranya isu larangan straw plastik akan menjadi isu sama dengan penggunaan beg plastik di negeri berkenaan.

Katanya, penggunaan beg plastik sepatutnya tidak dibenarkan langsung digunakan oleh pengguna, sebaliknya ia dibenarkan dengan mengenakan caj RM0.20 sen.

“Kerajaan Negeri perlu memberikan masa kepada pengguna dan peniaga. Kita bimbang isu ini akan berlaku seperti larangan beg plastik yang tidak dilaksanakan sepenuhnya, sebaliknya masih digunakan dengan caj tertentu.

“Tanpa ada alternatif, pengguna masih boleh menggunakan beg plastik itu. Sekiranya kita peka dengan isu alam sekitar seharusnya kita tidak membenarkan langsung penggunaan beg plastik berkenaan.

“Ini tidak akan menyelesaikan masalah dan akan menjadi masalah yang sama kepada isu larangan penggunaan straw ini nanti,” katanya kepada SelangorKini.

Mohd Yusof mencadangkan Kerajaan Negeri supaya meminta peniaga menyediakan straw kertas atau besi sebagai langkah alternatif lain dalam tempoh tertentu sebelum memansuhkan secara terus.

Bagaimanapun, Mohd Yusof turut bimbang sekiranya terdapat peniaga mengambil kesempatan dengan menaikkan harga minuman terhadap alternatif lain memandangkan ia boleh menyebabkan harga minuman meningkat.

“Ini kerana straw mudah terurai diperbuat daripada bahan yang agak mahal dan peniaga mungkin akan mengalihkan kos berkenaan kepada pengguna sekali gus membebankan mereka.

“Di Malaysia menaikkan harga menjadi ‘budaya’ apabila wujud sedikit kenaikan dalam kos operasi berbanding menurunkan harga ketika kos operasi menurun,” katanya.

Pada masa sama, beliau menyambut baik usaha berkenaan yang mengikut jejak langkah Wilayah Persekutuan yang mahu penggunaan straw plastik di haramkan.

Katanya, trend larangan berkenaan dijangka akan diikuti oleh negeri-negeri lain selepas ini.

Bermula awal tahun depan, semua perniagaan makanan dan minuman di Selangor tidak lagi dibenar menggunakan penyedut minuman plastik.

Selangor haramkan guna straw plastik menjelang Januari 2019

Ini berikutan langkah Kerajaan Selangor yang akan mengharamkan penggunaan penyedut minuman jenis itu di semua premis kedai dan restoran menjelang Januari tahun hadapan.

Exco Alam Sekitar, Teknokogi Hijau, Hal Ehwal Pengguna dan Sains Teknologi dan Inovasi, Hee Loy Sian berkata, peraturan itu akan dilaksanakan bagi memelihara pencemaran alam sekitar yang berpunca daripada penggunaan barangan plastik.

“Pengusaha restoran dan kedai tidak dibenarkan lagi menyediakan penyedut minuman plastik dan pelanggan hanya boleh menggunakannya dengan membuat permintaan di kaunter,” katanya ketika Majlis Anugerah Kempen #Bebasplastik 2018 baru-baru ini.

Selangor adalah negeri kedua yang bakal mengharamkan penggunaan penyedut minuman plastik, apabila pada September lalu, Kementerian Wilayah memaklumkan akan mengharamkan penggunaan penyedut minuman plastik di semua kedai dan restoran makanan di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan mulai Januari tahun depan.


Pengarang :