BERITA UTAMAPELANCONGANSELANGOR

‘Foster Friendship’ tingkat pelancongan pendidikan

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 19 NOV: Industri pelancongan berasaskan pendidikan, di Selangor dijangka terus berkembang positif menerusi pelaksanaan program pertukaran pelajar ‘Foster Friendship’ bersama Institut Pendidikan Ikibunkan Jepun.

EXCO Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan, Datuk Abdul Rashid Asari berkata, inisiatif berterusan antara Tourism Selangor dan Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) itu bagi mengetengahkan kepelbagaian produk pelancongan pendidikan, di Selangor, sekali gus menjadikan perpustakaan sebagai destinasi tumpuan pelancong.

“Selain dapat mempromosi kedua institusi terbabit ke tahap global, pemain industri berpeluang mempelajari budaya Jepun dan memberi perkhidmatan terbaik kepada pelancong yang berkunjung ke Selangor.

“Kami percaya Jepun mempunyai budaya dan ritual yang sangat dihormati, malahan turut memperlihatkan keunikannya hingga ke seluruh dunia dan ia adalah pembelajaran baik sepanjang program ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program ‘Foster Friendship’, di Laman Santai, Perpustakaan Raja Tun Uda, di sini, hari ini.

Terdahulu, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin berkenan hadir menyempurnakan majlis berkenaan.

Hadir sama, Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan Dan Amal Wanita Selangor (PEKAWANIS), Masdiana Muhamad; Pengurus Besar Tourism Selangor, Noorul Ashikin Mohd Din dan Pengarah PPAS, Mastura Muhamad.

Program itu membabitkan penyertaan 350 pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 18 Shah Alam dan Institut Pendidikan Ikibunkan Jepun.

Mengulas lanjut, Rashid berkata, pelajar terbabit akan didedahkan dengan beberapa aktiviti seperti dikir barat, ‘choral speaking’ dan kompang berirama termasuk sesi interaktif selama sehari.

“Aktiviti seperti ini dapat mengukuhkan tahap keyakinan dalam kalangan pelajar untuk menghadapi cabaran dalam kemahiran komunikasi, idea dan kreativiti, selain merasai pengalaman baharu melangkaui sempadan budaya.

“Justeru, saya yakin pelajar akan memanfaatkan hubungan ini untuk tempoh jangka panjang,” katanya.


Pengarang :