SELANGOR

Ibu bapa main peranan kawal anak ketagih gajet

OLEH SHEEDA FATHIL

RAWANG, 14 NOV: Ibu bapa turut memainkan peranan penting terutama dalam mengawal anak yang ketagih terhadap penggunaan gajet.

Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan Dan Amal Wanita Selangor (PEKAWANIS), Masdiana Muhamad berkata, ibu bapa perlu dipersiapkan dengan program keibubapaan, terutama apabila berdepan cabaran teknologi masa kini.

“Saya mewakili PEKAWANIS turut mempunyai perancangan pada masa akan datang untuk melaksanakan beberapa program khusus kepada ibu bapa, terutama berkaitan mendidik serta menjaga anak.

“Sebagai ibu bapa, adalah menjadi tugas dan tanggungjawab kita supaya setiap yang disemai dalam jiwa anak terus dibaja, disiram dan dijaga supaya ia terus subur sehingga mereka cukup matang,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Konvokesyen Tabika Perpaduan daerah Gombak di Ivory One Hall, Country Homes, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, katanya, ibu bapa tidak boleh meletakkan tanggungjawab mendidik hanya di bahu guru semata-mata.

“Kebanyakan anak zaman kini lebih suka meniru apa yang dibuat ibu bapa, justeru kita perlu menjadi contoh terbaik untuk mereka teladani,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut menyokong setiap guru prasekolah mempunyai Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak, terutama apabila berhadapan dunia penuh cabaran kini.

“Kanak-kanak kini sudah hebat dan cepat belajar, justeru penting untuk guru mempunyai kursus bertauliah bagi mengelak pelajar tercicir,” katanya.


Pengarang :