NASIONAL

IDE sedia jadi platform pencerahan Belanjawan 2019

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 8 NOV: Institut Darul Ehsan (IDE) sedia menjadi platform untuk rakyat mengetahui aspirasi sebenar Belanjawan Malaysia 2019 yang dibentangkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, pada Jumaat lalu.

Presiden dan Naib Canselor Universiti Selangor, Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman berkata, hal itu kerana rakyat perlu diberi pemahaman sebenar berkenaan langkah diambil kerajaan bagi memulihkan sistem ekonomi negara.

“Ini sangat penting dan sebab itulah IDE sebagai ‘think tank’ perlu beri pencerahan kepada rakyat berdasarkan interprestasi yang cuba mengorek apa aspirasi sebenar belanjawan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada SelangorKini selepas berakhirnya Dialog Belanjawan 2019, di Bangunan IDE, di sini, semalam.

Katanya, langkah sama perlu diambil pelbagai organisasi lain bagi mengelakkan rakyat mendapat gambaran salah terhadap belanjawan sulung Kerajaan Pakatan Harapan.

Terdahulu, Dialog Belanjawan 2019 dibarisi panelis antaranya Ahli Jawatankuasa Pusat Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH), Datuk Hadzir Md Zain; Profesor Adjung Universiti Selangor, Dr Zaharuddin Abdul Rahman dan Pegawai Dasar Ekonomi Dato’ Menteri Besar, Dr Mohd Zulkufli Zakaria.

Program itu turut dihadiri ahli akademik dari institusi pengajian tinggi, ahli politik dan penganalisis ekonomi.


Pengarang :