SELANGOR

Jangkitan beguk, murid SK Bukit Sentosa stabil

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 13 NOV: Kesemua 14 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Sentosa yang dijangkiti virus beguk kini berada dalam keadaan stabil.

Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Dr Khalid Ibrahim berkata, kesemua pesakit dikuarantin bagi mengelakkan virus itu dari terus tersebar.

Katanya, kesemua kanak-kanak berkenaan mendapatkan rawatan lanjut selepas pihak pengurusan sekolah memaklumkan perkara tersebut kepada Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Selangor, pada 8 November lalu.

“Kesemua 14 murid yang berumur dari 10 hingga 12 tahun itu berada dalam keadaan stabil, tapi kami mahu mereka duduk di rumah sahaja kerana virus beguk ini begitu mudah dijangkiti,” katanya.

Mengulas lanjut, Khalid berkata, enam bilik darjah di SK Bukit Sentosa juga diarahkan tutup selama dua minggu sementara kesemua peratalan dalam kelas tersebut dibersihkan.

Katanya, beguk merupakan penyakit disebabkan virus Paramyxovirus dan menyebabkan pembengkakan dan rasa sakit pada kelenjar parotid.

“Tanda dan wabak jangkitan bermula selepas 12 hingga 25 hari berhubungan dengan orang yang dijangkiti. Sesetengah orang yang dijangkiti beguk tiada tanda-tanda awal.

“Mereka berkemungkinan menghadapi demam, sakit kepala, mulut kering dan hilang selera, keletihan dan pembengkakan pada satu atau kedua-dua kelenjar parotid,” katanya.


Pengarang :