NASIONAL

JPP digesa dedah Log File tablet e-undi Julau

SIBU, 11 NOV: Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) KEADILAN diminta mendedahkan Log File tablet e-undi yang digunakan semasa proses pemilihan parti bagi cabang Julau, semalam.

Ketua Wanita KEADILAN, Zuraida Kamaruddin berkata, ia bagi menutup ruang spekulasi dan tuduhan berkaitan kemungkinan berlakunya serangan siber dan sistem pemilihan yang diceroboh.

Beliau turut meminta JPP mendedahkan individu yang memuat turun aplikasi Prey itu dan mengakses tablet untuk tujuan berkenaan.

“Untuk memuat turun aplikasi Prey, penjaga atau ‘administrator kepada tablet e-voting itu harus memasukkan kata laluan dan ia tidak dapat dilakukan semua orang.

“Datuk Rashid Din (Pengerusi JPP) menyatakan sistem itu digodam dan jika perkara ini berlaku, sudah tentu ia terjadi atas pengetahuan petugas JPP, kerana hanya mereka mempunyai akses kepada sistem berkenaan,” katanya dalam kenyataan.

Zuraida berkata, Prey adalah aplikasi yang popular dalam peranti menggunakan sistem Android dan boleh dimuat turun seperti aplikasi lain di dalam telefon bimbit atau mana-mana peranti pintar mudah alih lain.

“Ia bukanlah “malware” (spyware atau virus) seperti dakwaan Rafizi Ramli, sebaliknya ia adalah aplikasi melindung dan bukannya untuk mengambil data seperti dinyatakan Rashid Din,” katanya.

Susulan itu, JPP menggantung keputusan pemilihan KEADILAN cabang Julau.


Pengarang :