ALAM SEKITAR & CUACAGLOBAL

Kajian: Pemanasan global tingkat kematian, penyakit

LONDON 29 NOV: Perubahan iklim menjadikan lebih ramai penduduk di dunia terdedah kepada haba, sekali gus meletakkan mereka berisiko lebih besar mendapat penyakit jantung dan buah pinggang, tekanan haba dan pembunuh berkaitan haba lain, saintis memberi amaran semalam.

Kesan pemanasan global paling serius kepada penduduk berusia dan di bandar serta mereka dengan keadaan kesihatan kronik.

Penduduk Eropah dan timur Mediterranean terutamanya lebih terdedah berbanding di Afrika dan Asia Tenggara oleh kerana ramai warga emas tinggal di bandar yang padat penduduk, kata penyelidik menerusi satu analisis dalam jurnal perubatan The Lancet.

“Aliran dalam kesan perubahan iklim, pendedahan dan ancaman menunjukkan risiko tinggi yang tidak boleh diterima untuk kesihatan ketika ini dan di masa akan datang,” kata Prof Hilary Graham dari Universiti York, Britain yang mengetuai penyelidikan itu.

Pengiraan Kesihatan dan Perubahan Iklim Lancet membabitkan hasil kerja daripada 27 institusi akademik dalam pelbagai disiplin daripada kesihatan sehinggalah kejuruteraan, ekologi serta kepakaran daripada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan agensi antara kerajaan di seluruh dunia.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), perubahan iklim menjejaskan banyak faktor mempengaruhi kesihatan, termasuk udara dan air bersih, makanan dan perlindungan.

Ia menganggarkan, antara 2030 dan 2050, perubahan iklim mungkin mencetuskan tambahan 250,000 kematian setahun berikutan kekurangan nutrisi, cirit-birit, malaria dan tekanan haba.

Laporan mendapati, pada 2017, kira-kira 157 juta orang terdedah kepada gelombang haba. Katanya, 153 bilion jam tenaga buruh dibazirkan tahun lalu akibat pendedahan haba.

Ia juga mendapati, perubahan kecil dalam suhu dan hujan boleh mengakibatkan perubahan besar dalam pemindahan penyakit berjangkit tertentu menerusi air dan nyamuk seperti taun, malaria dan demam denggi.

SUMBER: REUTERS

 


Pengarang :