BERITA UTAMASELANGOR

Larangan straw plastik di Selangor bermula Januari 2019

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 7 NOV: Kerajaan Negeri akan mengikuti langkah Kerajaan Persekutuan bagi larangan penggunaan straw plastik yang akan dikuat kuasa, bermula tahun depan.

EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Hal Ehwal Pengguna dan Hal Ehwal Bukan Islam, Hee Loy Sian berkata, larangan itu berkuat kuasa ke atas semua premis makanan termasuk restoran, kopitiam dan gerai makanan, di seluruh Selangor.

Katanya, kesemua premis tidak lagi dibenarkan memberi straw kepada pelanggan melainkan ia diminta.

“Kerajaan Negeri akan mengeluarkan notis berkenaan larangan ini kepada semua pemilik premis melalui Pihak Berkuasa Tempatan yang dijangka dikeluarkan, pada Disember ini sementara pelaksanaannya, pada Januari 2019,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Anugerah Kempen Bebas Plastik 2018, di Foyer SUK, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Loy Sian berkata, pihaknya akan memberi amaran kepada premis yang gagal berbuat demikian, namun tiada tindakan undang-undang akan diambil.

“Saya berharap penguat kuasaan ini dipatuhi semua pemilik premis dan mendapat kerjasama daripada penduduk di Selangor,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah, Datuk Seri Adnan Md Ikhsan berkata, penguat kuasaan larangan penggunaan straw plastik akan ditujukan kepada peniaga dan pengusaha kedai makanan yang menjadi pemegang lesen dan bukan terhadap rakyat.

Pada masa sama, straw yang bukan daripada jenis plastik konvensional akan turut disediakan sebagai alternatif.

Inisiatif untuk mengehadkan penggunaan produk plastik konvensional yang berasaskan hidrokarbon diperkenalkan sejak 2016 dan dikuat kuasakan mulai 1 September 2017.


Pengarang :