Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di Gombak
NASIONALPENDIDIKAN

Maszlee lepas jawatan Presiden UIAM akhir bulan ini

KUALA LUMPUR, 13 NOV: Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata beliau akan melepaskan jawatan Presiden Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) selepas pelantikan penggantinya selesai akhir bulan ini.

“Sebenarnya saya telahpun memutuskan untuk melepaskan jawatan Presiden UIAM iaitu sebaik selepas istiadat konvokesyen UIAM berakhir dan proses pelantikan pengganti saya selesai. Saya percaya proses pelantikan pengganti akan selesai akhir November,” katanya dalam akaun Twitter beliau malam tadi.

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menasihatkan ​​​​​​Maszlee supaya melepaskan jawatan presiden itu dengan segera.

Muhyiddin, yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata kerajaan dan parti telah membuat keputusan itu namun Anggota Parlimen Simpang Renggam itu meminta sedikit masa untuk berbuat demikian.

Maszlee berkata beliau menghormati keputusan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Kabinet dan seruan Muhyiddin berhubung isu jawatan itu.

Maszlee dilantik sebagai presiden UIAM ketujuh bagi penggal tiga tahun pada September lepas setelah diperkenankan oleh Ketua Perlembagaan UIAM, Sultan Ahmad Shah. Beliau menggantikan Dr Rais Yatim yang tamat kontrak pada Julai lepas.

Bagaimanapun, banyak pihak mempersoalkan pelantikan beliau ke jawatan itu antaranya ia bercanggah dengan manifesto Pakatan Harapan (PH) untuk membebaskan institusi pendidikan daripada pengaruh politik.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :