SUKANKINI

MFL akan ganti semula trofi ABK 2018

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 7 NOV: Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) akan mengganti semula trofi tidak sesuai kepada pemenang Anugerah Bola Sepak Kebangsaaan (ABK) 2018 susulan kritikan daripada pelbagai pihak.

MFL dalam kenyataan mengakui kecewa dengan trofi yang tidak memenuhi standard seperti diharapkan Pengerusinya, DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim serta disifatkan tidak layak diberi kepada pemenang yang mempamerkan persembahan terbaik sepanjang musim ini.

“MFL mengenal pasti kakitangan yang membuat kesilapan dalam pesanan membuat trofi itu dan beliau cuba menutup perkara terbabit tanpa pemberitahuan maklumat kepada pihak pengurusan.

“MFL juga mengambil inisiatif menghubungi semua pemenang untuk menggantikan trofi itu sesuai dengan pencapaian mereka,” katanya.

Badan pengurusan liga itu juga menjelaskan, pihaknya tidak berniat melakukan perkara berkenaan dan tindakan sudah diambil ke atas mereka yang terbabit.

Pada masa sama, katanya, MFL sentiasa berusaha menjadikan ABK lebih besar dan megah setiap tahun, justeru menyifatkan kejadian terbabit sebagai menghampakan.

“Dengan ini, MFL memohon maaf kepada semua pemenang dan komuniti bola sepak Malaysia atas insiden yang tidak mencerminkan matlamat, visi, piawaian MFL serta Tunku Pengerusi kami yang sangat menekankan standard juga kualiti dalam semua aspek.

“MFL akan lebih baik pada masa hadapan,” katanya.

Sebelum ini, ABK 2018 dihujani kritikan terhadap trofi kategori kasut emas yang dimenangi pemain import Selangor, Rufino Segovia yang terlalu kecil berbanding tahun lalu.

Turut dipertikaikan adalah kualiti trofi apabila salah satu trofi dimenangi pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), Safawi Rasid yang didakwa patah sejurus keluar dari hotel.

Kredit Foto: Facebook Football Malaysia LLP


Pengarang :