SELANGOR

Persiapan awal hadapi banjir, mampu tampung 97,290 mangsa

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 12 NOV: Jawatankuasa Pengurusan dan Bantuan Bencana Negeri Selangor menyiapkan persediaan awal bagi menghadapi musim banjir dijangka berlaku pada Oktober hingga Disember.

Ketua Penolong Setiausaha Unit Pengurusan Bencana (UPB) Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Ahmad Fairuz Mohd Yusof berkata, pada masa ini persediaan dibuat mampu menampung sehingga 97,290 mangsa pada satu masa.

“Peringkat persediaan statistik petugas agensi yang bersedia sepanjang musim monsun timur laut melibatkan 27 agensi dan 2,700 anggota dan logistiknya melibatkan 453 pelbagai jenis aset.

“Keseluruhan di Selangor kita mampu menampung sehingga 97,290 mangsa sekiranya perlu melibatkan 536 pusat pemindahan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Mesyuarat Pengururusan dan Bantuan Bencana Negeri Selangor di Bilik Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES), Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini, hari ini.

Ahmad Fairuz berkata, unit pengurusan bencana itu juga mampu menguruskan 2,235 mangsa bencana dalam dalam tempoh masa yang singkat.

Sebelum itu, mesyuarat yang berlangsung pagi tadi turut melibatkan pelbagai agensi kerajaan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Parit dan Saliran (JPS) dan lain-lain.

Mesyuarat itu membincangkan persiapan menghadapi banjir berikutan musim monsun timur laut yang berlaku pada bulan Oktober hingga Disember.


Pengarang :