NASIONAL

Politik matang ‘big brother’ salam, peluk ‘small brother’

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 18 NOV: Naib Presiden KEADILAN, Zuraida Kamaruddin menyifatkan tindakan ‘big brother’ menemui ‘small brother’ menghulurkan salam dan pelukan sebagai tindakan profesional serta matang.

Katanya, hal itu juga menunjukkan parti berkenaan akan menjadi lebih berkualiti, pada masa hadapan.

“Kita lihat semua perwakilan yang berucap semalam dan berbahas berjaya membawa kita untuk muhasabah diri kepada perkara lebih baik kerana kita sudah menjadi satu kerajaan, pada hari ini.

“Tidak ada seorang pun dalam dewan ini yang mahukan parti kita berpecah belah. Semua mahu kita bersatu.

“Semalam, kita lihat satu agenda menarik dalam kongres kita di mana seorang bapa dari Perlis berucap meminta anaknya bersatu demi kebaikan parti,” katanya.

Beliau berkata demikian pada ucapan penggulungan di Kongres Nasional KEADILAN ke-13 bertemakan Memaknai Demokrasi, Menterjemah Reformasi, di IDCC, di sini.

Pada masa sama, Zuraida yang juga mantan Ketua Wanita KEADILAN berharap kepimpinan Presiden baharu, Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat mewujudkan ahli parti kukuh dan gagah.

Katanya, hal itu supaya ahli parti akan dapat membuat keputusan dalam satu nada kolektif, sekali gus akan disegani rakan dan kroni Barisan Nasional.

“Kita lihat kepimpinan semalam sudah mula bergabung dan di bawah ini juga bertepuk tangan berdiri dan saya minta di bawah ini juga bersalam,” katanya.

Semalam, ucapan ‘berbisa’ perwakilan Perlis, Tengku Nazeri Tengku Aldin berjaya menyatukan kembali dua calon Timbalan Presiden, Rafizi Ramli dan Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

“Saya minta ‘team Rafizi’, ‘team Azmin’ hari ini hentikanlah (pertelingkahan) masanya sudah habis,” katanya sambil menerima tepukan gemuruh perwakilan dan pimpinan parti itu.


Pengarang :