KUCHING, 10 Nov — Para perwakilan Parti Keadilan Rakyat (PKR) mendaftar pada Pemilihan Kepimpinan Peringkat Pusat dan Cabang PKR Petra Jaya di Jalan Haji Taha Kampung Bandarshah hari ini. –fotoBERNAMA (2018) HAK CIPTA TERPELIHARA
NASIONAL

Proses pemilihan KEADILAN Sarawak lancar

KUCHING, 10 NOV: Proses pemilihan KEADILAN Sarawak, hari ini berjalan lancar dengan pengerusi negeri dan ahli Parlimen Selangau menang tanpa bertanding bagi ketua cabang Lawas, lapor BERNAMA.

Di Lawas, Baru Bian yang juga Menteri Kerja Raya dan Ahli Dewan Undangan Negeri Ba’Kelalan, tiba di pusat pengundian di Stadium Tertutup Lawas, pada jam 9.05 pagi dan mengundi menggunakan kaedah e-voting, pada jam 9.25 pagi.

Di Julau, hujan lebat tidak menghalang ribuan anggota KEADILAN turun mengundi, di Kompleks Sukan Julau seawal jam 6 pagi, terutama mereka yang datang jauh dari pekan Pakan.

Majoriti daripada pengundi yang hadir memakai baju kuning memaparkan wajah calon Ketua Cabang, Larry Sng Wei Shien yang menentang penyandang Semana Sawang.

Pemilihan bagi cabang Julau menarik tumpuan susulan pertambahan ahli kawasan itu yang meningkat mendadak daripada hanya 603, pada 26 Jun kepada 13,000 sehari kemudiannya.

Sementara itu, di Dewan Institut Latihan Perindustrian Kota Samarahan, pemilihan cabang Kota Samarahan yang mempunyai 2,000 pengundi berdaftar, berjalan lancar sebaik pusat mengundi dibuka pada jam 9 pagi.

Pusat mengundi itu turut dilawati calon Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN, R Sivarasa dan Pengerusi KEADILAN Pulau Pinang, Datuk Mansor Othman.

Bagi cabang Mas Gading yang mempunyai 1,247 pemilih layak, proses pemilihan di Kampung Stenggang, Bau dekat sini berjalan lancar pagi ini.

 


Pengarang :