SELANGOR

Semua pihak perlu main peranan tangani isu penderaan

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 18 NOV: Setiap pihak perlu memainkan peranan dalam menangani isu kes penderaan kanak-kanak yang sering terjadi pada masa kini.

Ahli Dewan Negeri Permatang, Rozana Zainal Abidin berkata, masyarakat perlu peka setiap perkara yang berlaku di sekeliling mereka.

“Isu penderaan kanak-kanak semakin menjadi- jadi sejak kebelakangan ini, justeru sebagai masyarakat kita perlu memandang serius dan sentiasa berwaspada.

“Selain itu, pemantauan dari semasa ke semasa daripada pihak berwajib juga perlu bagi memastikan sama ada pengasuh itu berdaftar atau tidak,” katanya kepada SelangorKini.

Mengulas lanjut, beliau turut menasihatkan ibu bapa supaya jangan terlalu cepat percayakan seseorang terutama yang baru dikenali menerusi media sosial.

“Jika kita lihat zaman serba canggih ini, pemasaran semua menerusi media sosial termasuk mengaku mereka sebagai pengasuh.

“Bagaimanapun, saya nasihatkan ibu bapa jangan terlalu cepat percaya dan wajib menyemak latar belakang pengasuh sekiranya baru dikenali,” katanya.

Rozana turut mengingatkan pengasuh supaya tidak bermain dengan nyawa manusia kerana mereka menjaga amanah kurniaan Allah.

“Sepatutnya pengasuh menjaga seperti anak kandung dan tidak hanya umpama melepas batuk di tangga demi ingin mendapatkan imbuhan hasil mengasuh,” katanya.

Terdahulu, negara dikejutkan dengan berita kematian seorang bayi, Nur Muarzara Ulfa Muhammad Zainal atau nama mesranya, Zara berusia 11 bulan disahkan meninggal dunia, baru-baru ini.

Difahamkan, suami pengasuh berusia 36 tahun itu menjaga sepenuhnya Zara sejak dihantar di bawah jagaan isteri lelaki berkenaan, berusia 28 tahun, pada 21 September lalu.

Bayi itu dipercayai mengalami penderaan fizikal dan seksual selepas dua hari bertarung nyawa ketika mendapatkan rawatan di Hospital Serdang.


Pengarang :