SELANGOR

Tetapkan matlamat kewangan, pelajar perlu ‘beringat sebelum kena’

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 25 NOV: Golongan belia, khususnya pelajar di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) perlu menetapkan matlamat yang betul dalam aspek pengurusan perbelanjaan bagi mengelakkan mereka daripada dibelenggu kemelut kewangan.

Penasihat ‘Unit Trust’ Permodalan Nasional Berhad (PNB), Siti Hawa Zainuddin berkata, memiliki strategi dan pengurusan kewangan yang sistematik juga perlu dititikberatkan supaya pelajar dapat menilai antara kehendak dan keperluan sebenar.

Katanya, apabila seseorang itu menyediakan pelan perancangan jangka panjang secara bijak, tidak mustahil matlamat kewangan itu akan selari dengan kemampuan yang ada pada diri mereka.

“Hal ini kerana pelajar perlu ada sikap ‘beringat-ingat sebelum kena’ iaitu mereka perlu bersedia dengan sebarang kemungkinan yang akan berlaku pada kemudian harinya kerana kita tidak dapat menjangkakan apa yang akan berlaku, misalnya kemalangan, sakit teruk, memerlukan kos rawatan tinggi dan sebagainya.

“Tidak dinafikan, untuk jangka masa panjang, mereka ada perancangan untuk berkahwin, beli rumah dan pendidikan anak-anak pada masa hadapan, maka sebagai langkah persediaan untuk mencapai matlamat ini, pelajar harus mempunyai perancangan di peringkat awal bagi membolehkan mereka mengikut rapat setiap matlamat kewangan,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program Smart Financial for Young Millennials, di Dewan Pro Cansnelor, Universiti Selangor (UNISEL) Kampus Shah Alam, di sini, hari ini.

Turut hadir, Penasihat Kelab Kewangan UNISEL, Hasnita Halim; wakil penceramah daripada Permodalan Nasional Berhad (PNB) iaitu Dr Alif Bakar dan Amir Syafik Matsahuri serta Presiden Kelab Kewangan UNISEL, Ahmad Mursyidin Mohd Shamsul Bahrin.

Sementara itu, Ahmad Mursyidin berkata, program terbabit menjadi platform kukuh bagi memberi pendedahan secara meluas khususnya terhadap generasi milenium mengenai kepentingan pelaburan.

Katanya, kerjasama dihubungkan antara Kelab Kewangan UNISEL dan PNB mampu menarik minat pelajar untuk mengetahui lebih jelas berkaitan elemen pelaburan, di masa hadapan selaras visi utama ‘Society Profit’ kelab berkenaan.

“Kami mahu memberi gambaran keseluruhan pelaburan yang berguna di dunia nyata kepada pelajar dan sememangnya itu menjadi hasrat kami untuk mendedahkan lebih luas mengenai pengurusan kewangan.

“Diharapkan inisiatif ini boleh menghasilkan impak yang baik untuk menjadikan pelajar UNISEL, khasnya yang berilmu dalam bidang pelaburan seterusnya membawa imej UNISEL ke peringkat lebih tinggi dan berdaya saing,” katanya.

Terdahulu, kira-kira 200 pelajar menyertai seminar terbabit dengan menyaksikan beberapa modul dibentangkan termasuk sesi soal jawab.


Pengarang :