NASIONAL

Maszlee nafi mahu masuk 1MDB dalam subjek Sejarah

SHAH ALAM, 4 DIS: Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, menafikan laporan media yang mendakwanya menyebut kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) akan dimasukkan ke dalam silibus subjek Sejarah, di sekolah.

Setiausaha Akhbarnya, Shahrul Aman Mohd Saari berkata, perkataan sejarah disebut Maszlee tidak merujuk kepada sukatan pelajaran, sebaliknya merujuk kepada sejarah Malaysia secara am.

Katanya, laporan media berkenaan adalah tidak tepat kerana keputusan untuk memasukkan isu 1MDB ke dalam subjek Sejarah terserah kepada jawatankuasa kajian kurikulum Kementerian Pendidikan.

“Ketika menjawab soalan tambahan YB Pontian (Datuk Seri Ahmad Maslan), Dr Maszlee hanya menyebut isu 1MDB akan dimasukkan dalam sejarah Malaysia.

“Laporan media memetik seolah-olah Dr Maszlee mengatakan kes 1MDB akan dimasukkan ke dalam silibus subjek Sejarah Malaysia adalah tidak tepat.

“Soal sama ada ia akan dimasukkan ke dalam silibus terserah kepada jawatankuasa kajian kurikulum Kementerian Pendidikan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Justeru, beliau memohon kerjasama media supaya membuat pembetulan bagi mengelak kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

Semalam, Maszlee dilaporkan berkata, skandal 1MDB dan penyelewengan membabitkan ahli politik akan dimasukkan sebagai sukatan pelajaran Sejarah sebagai pengajaran.

Beliau berkata, kesilapan itu perlu dipelajari supaya tidak diulangi generasi masa depan.


Pengarang :