SELANGOR

Pusat jagaan, kebajikan terima bantuan setiap tahun

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 4 DIS: Sejumlah RM500,000 diperuntukkan setiap tahun kepada pertubuhan sukarela yang mengendalikan rumah kebajikan anak yatim dan orang tua.

EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, bantuan terbabit diberi berdasarkan permohonan dan keperluan rumah kebajian berkenaan.

“Untuk makluman, geran pentadbiran, geran rangsum dan geran perkapita turut disalurkan kepada rumah kebajikan bagi meringankan beban pengurusan, sekali gus melancarkan lagi operasi pentadbiran.

“Pada masa sama, bantuan sokongan permohonan pengecualian cukai di bawah subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967 turut dilaksanakan untuk membantu pengendali,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi pertanyaan mulut, pada sidang Dewan Negeri Selangor, di sini, hari ini.

Katanya, Kerajaan Negeri juga akan menghimpun pusat jagaan tidak berdaftar dan membantu pusat kebajikan mendapat lesen sah operasi.

Katanya, hal itu kerana ada di antara pusat jagaan dan rumah kebajikan itu masih belum berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

“Melalui usaha ini, Kerajaan Negeri mahu memberi program advokasi bahawa pengendali pusat kebajikan perlu mengikut peruntukan di bawah Akta Pusat Jagaan 1993,” katanya.


Pengarang :