PELANCONGANSELANGOR

Tahun Melawat Sepang 2020 sasar pendapatan RM5 bilion

OLEH NAZLI IBRAHIM

SEPANG, 23 DIS: Jawatakuasa Penggerak Pelancongan Tahun Melawat Sepang 2020 (TMS 2020) mensasarkan program itu mampu menjana pendapatan kira-kira RM5 bilion.

Timbalan Yang Dipertua MPSP, Muhammad Hafiz Shaari berkata, program itu turut menyasarkan kedatangan sebanyak lima juta pelancong sepanjang kempen itu berlangsung.

“Tahun Melawat Malaysia 2020 mensasarkan seramai 36 juta ketibaan pelancong dan pendapatan pelancongan sebanyak RM168 bilion menjelang 2020.

“Manakala bagi Tahun Melawat Melaka 2019, Kerajaan Negeri Melaka mensasarkan seramai 20 juta orang pelancong ke negeri tersebut dan bagi cadangan sasaran TMS 2020 adalah sebanyak lima juta pelancong iaitu 80 peratus pelancong tempatan dan 20 peratus pelancong antarabangsa dengan hasil pendapatan RM5 bilion,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Pra Pelancaran TMS 2020 di Gateway, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) di sini, hari ini.

Muhammad Hafiz berkata, Majlis Perbandaran Sepang (MPSP) sudah mula mengerakkan perancangan teliti dan mewujudkan sebuah jawatankuasa khas.

Katanya, antara program yang diadakan pada kempen TMS 2020 termasuklah mempromosi Sepang sebagai destinasi membeli belah, program bersama pengusaha penanaman buah naga, Jelajah Tahun Melawat Sepang dan festival kebudayaan.

Selain itu, turut diadakan pada kempen itu adalah pesta pantai, Larian TMS 2020 dan menyusuri Sungai Besar Sepang.

Katanya, pelaksanaan TMS 2020 juga merupakan sebahagian usaha menyokong hasrat Kerajaan Negeri bagi memperkenalkan lagi eko pelancongan setiap daerah yang terdapat di Selangor.


Pengarang :