SUKANKINI

TPM, pemimpin negara puji semangat melawan Harimau Malaya

KUALA LUMPUR, 16 DIS: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengucapkan tahniah kepada skuad Harimau Malaya kerana berjaya mara sehingga peringkat akhir dalam Piala AFF Suzuki 2018.

Bagaimanapun, beliau meminta pasukan bola sepak negara untuk lebih berusaha.

“Vietnam bermain lebih baik daripada Malaysia, tahniah Vietnam berjaya merangkul kejuaraan. Tahniah skuad Harimau Malaya kerana berjaya mara sehingga peringkat akhir. Kena berusaha keras lagi,” katanya dalam catatan Twitternya, malam ini.

Harapan Malaysia untuk menamatkan kemarau lapan tahun menjulang Piala AFF Suzuki tidak kesampaian setelah kalah tipis 0-1 kepada Vietnam pada aksi final kedua di Stadium Nasional My Dinh, Hanoi malam ini.

Keputusan itu menyaksikan Vietnam muncul juara buat kali kedua selepas 2008 menerusi keputusan agregat 3-2, dan ia sekali gus meranapkan impian Malaysia meraih kejuaraan kedua selepas edisi 2010.

Sementara itu, Timbalan Menteri Belia dan Sukan Steven Sim Chee Keong menyifatkan Harimau Malaya sebagai juara di hati rakyat Malaysia walaupun menjadi naib juara kejohanan itu.

“Tahniah Harimau Malaya! Walaupun menjadi naib juara Piala AFF Suzuki, anda semua juara di hati kami. Keputusan akhir Vietnam 1-0 Malaysia (aggregat 3-2),” katanya.

Timbalan Speaker Dewan Rakyat Nga Kor Ming berkata semangat berlawan yang ditonjokan oleh Harimau Malaya telah berjaya menjadi sumber inspirasi seluruh rakyat Malaysia.

“Walaupun tidak menjadi juara kali ini, semangat berlawan habis-habisan Harimau Malaya telah berjaya menjadi sumber inspirasi seluruh rakyat Malaysia. Jangan putus asa, kita terus berusaha demi Malaysiaku yang tercinta,” katanya.

Bekas Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin memuji jurulatih skuad bola sepak negara Tan Cheng Hoe kerana berjaya membina asas yang kukuh untuk pemain.

“Congratulations to Vietnam. Very tight unit. Well done to our boys. Tan Cheng Hoe (TCH) has built a good foundation with the right philosophy. Right man for the job,” katanya.

(Tahniah Vietnam. Satu pasukan yang kemas. Syabas kepada pasukan negara kita. Tan Cheng Hoe (TCH) telah membina asas yang kukuh dengan falsafah yang tepat. Pilihan yang tepat sebagai jurulatih)

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :