SUKANKINI

2 cemerlang pada Kejohanan Skuasy Terbuka Remaja Britain

KUALA LUMPUR, 7 JAN: Dua pemain remaja negara cemerlang dalam kategori masing-masing, manakala tiga lagi gagal di Kejohanan Skuasy Terbuka Remaja Britain 2019 yang berakhir di Birmingham, England, pada 5 Januari lalu.

Dalam kejohanan itu, Ameeshenraj Chandaran, pemain pilihan kelima hingga kelapan bagi kategori Lelaki Bawah 15 (B-15) berjaya membuat kejutan apabila berjaya mengatasi pilihan pertama, Dennis Gilevisky dari Ireland, 8-11, 11-6, 11-5 dan 11-7.

Seorang lagi pemain negara, Nickhileswar Moganasundharam pula berjaya menepati kedudukannya sebagai pemain pilihan pertama kategori Lelaki B-11, dengan mengetepikan pilihan kedua, Chris Baddour (Mesir) dengan menang, 9-11, 11-7, 11-4 dan 11-6.​​​​​​​

​​​​​​​Nasib berbeza dilalui juara bertahan kategori Perempuan B-15, Aira Azman apabila gagal mempertahankan gelarannya dengan tewas kepada pemain pilihan kedua, Salma El Tayeb (Mesir), 8-11, 11-9 11-7, 13-15 dan 7-11.​​

Seorang lagi pemain negara Whitney Wilson yang merupakan pemain pilihan pertama Perempuan B-11 tewas mengejut kepada pemain pilihan ketiga-keempat Anahat Singh (India), 11-13, 9-11, 11-7 dan 9-11.​​​​​​​

Pemain pilihan bersama kelima Lelaki B-13, Harith Danial Jefri juga mengalami nasib yang sama selepas tewas kepada seorang lagi pemain Mesir Abdallah Eissa (pilihan kedua), 7-11, 11-9, 11-9, 7-11 dan 12-14.

*Sumber: BERNAMA


Pengarang :