EKONOMINASIONAL

Ringgit lebih tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat

KUALA LUMPUR, 4 JAN: Ringgit dibuka lebih tinggi berbanding dolar Amerikat Syarikat (AS) ekoran penyusutan dolar susulan data ekonomi AS yang kurang memberangsangkan hingga mencetuskan kebimbangan bahawa pertumbuhan ekonomi terbesar di dunia itu semakin perlahan.

Pada jam 9 pagi, ringgit diniagakan pada 4.1380/1500 berbanding dolar US daripada 4.1410/1460 ketika ditutup, semalam.

Ketua Pakar Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd. Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata. kejatuhan dalam Indeks Institut Pengurusan Pembekalan (ISM) AS dan garis panduan pendapatan daripada Apple adalah berita utama yang menggerakkan pasaran.

Menurut Indeks ISM AS, sektor pembuatan jatuh 5.2 mata kepada 54.5 pada Disember lalu menunjukkan isyarat bahawa kalangan pekilang kurang yakin, manakala apa yang lebih penting berlaku penurunan ketara dalam Indeks Tempahan Baharu Disember sebanyak 11 mata kepada 51.1 mata.

“Ini mencadangkan aktiviti pengeluaran dan permintaan dijangka lemah dalam beberapa bulan akan datang,” katanya lapor BERNAMA.

Beliau berkata, Apple menurunkan garis panduan perolehannya bagi suku pertama yang menunjukkan bahawa permintaan dari China berkurangan dengan ketara seiring dengan keadaan ekonomi di negara itu yang semakin perlahan, pada 2018.

“Oleh itu, prestasi pasaran yang sedang pesat membangun dijangka amat mencabar ekoran risiko akan meningkat. Pada masa depan, permintaan dijangka berterusan bagi mata wang kukuh seperti dolar AS dan yen Jepun.

“Pada ketika ini, dolar AS menyusut pada kadar perlahan. Kami menjangkakan ringgit akan berada dalam julat semakin cergas, dalam waktu terdekat,” katanya.

Ketika dibuka hari ini, ringgit diniagakan lebih rendah berbanding mata wang utama yang lain.

Ia jatuh berbanding yen Jepun kepada 3.8461/8509 daripada 3.8457/8514 ketika ditutup dan lebih rendah berbanding dolar Singapura, pada 3.0342/0382 daripada 3.0321/0369.

Ringgit jatuh berbanding pound kepada 5.2300/2367 daripada 5.2090/2173 dan susut berbanding euro kepada 4.7202/7260 daripada 4.7104/7165.

 

 

 


Pengarang :