EKONOMINASIONAL

Bursa Malaysia dibuka tinggi didorong belian saham tempatan

KUALA LUMPUR, 3 JAN: Bursa Malaysia dibuka tinggi pada Khamis, didorong oleh belian saham-saham tempatan seperti Petronas Gas, MISC, Digi dan Hong Leong Bank.

Pada jam 9.05 pagi, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menambah 3.66 mata kepada 1,671.77 berbanding 1,668.11 pada penutupan Rabu.

Indeks dibuka 7.05 mata lebih kukuh pada 1,675.16.

Kedudukan pasaran positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 114 berbanding 72, manakala 116 kaunter tidak berubah, 1,557 tidak diniagakan dan 21 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 55.94 juta saham bernilai RM22.81 juta.

Petronas Gas, MISC, Digi dan Hong Leong Bank bersama-sama menyumbang 4.253 kepada indeks komposit.

Petronas Gas melonjak 32 sen kepada RM18.90, MISC menokok 14 sen kepada RM6.69, Digi menambah lapan sen kepada RM4.50 manakala Hong Leong Bank meningkat 24 sen kepada RM20.54.

“Walaupun trend rendah sedikit dalam kalangan bursa Asia, Bursa Malaysia memperoleh sokongan daripada pelabur.

“Mungkin mereka sudah kembali ke pasaran selepas cuti hujung minggu yang panjang. Kami berharap momentum ini akan berterusan pada 2019,” kata seorang peniaga.

Beliau berkata berikutan pasaran minyak dunia meningkat perlahan-lahan, pelabur dijangkakan menyumbang momentum positif kepada Bursa Malaysia.

Penanda aras minyak mentah Brent kini didagangkan pada US$54.91 setong, meningkat 2.06 peratus, dirangsang oleh petunjuk pengurangan bekalan dari Arab Saudi, yang mengimbangi pengeluaran yang tinggi dari Amerika Syarikat dan Rusia.

Antara kaunter wajaran tinggi, Maybank susut lima sen kepada RM9.34, Public Bank turun lapan sen kepada RM24.58, manakala Tenaga dan Petronas Chemicals masing-masing susut empat sen kepada RM13.40 dan 9.20.

Bagi kaunter aktif, Inari Amertron susut 17 sen kepada RM1.30, Hubline tidak berubah pada 4.5 sen, manakala Reach Energy dan My EG menokok 1.5 sen kepada 28.5 sen dan 96.5 sen.

Indeks FBM Emas meningkat 18.73 mata kepada 11,411.16, Indeks FBMT 100 menambah 19.57 mata kepada 11,326.78, manakala Indeks FBM Emas Shariah meningkat 36.73 mata kepada 11,361.69.

Indeks FBM Ace susut 26.28 mata kepada 4,263.26, manakala FBM 70 menambah 0.70 mata kepada 12,985.75.

Mengikut sektor, Indeks Kewangan susut 7.38 mata kepada 17,177.57, Indeks Perladangan meningkat 30.60 mata kepada 6,794.69 dan Indeks Perkhidmatan dan Produk Perindustrian turun 0.24 mata kepada 165.20.

*Sumber: BERNAMA


Pengarang :