NASIONAL

Denda hingga RM5 juta jika kelirukan status halal

PUTRAJAYA, 12 JAN: Mana-mana pihak yang cuba mengelirukan pengguna dengan status halal boleh didenda sehingga tidak melebihi RM5 juta jika kesalahan pertama dilakukan pertubuhan perbadanan.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Mohamad Nordin Ibrahim berkata, perkara itu berpandukan Perintah Perihal Dagangan (Takrifan Halal) 2011.

“Jika kesalahan dilakukan oleh bukan pertubuhan perbadanan, ia boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama.

“Peniaga dan pengusaha seharusnya mempunyai sensitiviti tinggi untuk membangun perusahaan dalam memenuhi keperluan pengguna Islam dan bukan Islam di negara ini.

“Sementara masyarakat pengguna pula hendaklah memilih hanya premis yang mempunyai sijil halal yang diyakini sah sahaja,” katanya dalam kenyataan, lapor BERNAMA.

Beliau mengulas laporan BERNAMA, pada 7 Januari lalu berhubung kenyataan Presiden Persatuan Pengusaha Makanan Melayu Islam Wilayah Persekutuan dan Selangor, Ayob Abd Majid yang mencadangkan JAKIM perlu mewajibkan pengusaha restoran memiliki sijil halal sebelum beroperasi.

Mohamad Nordin berkata, Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) adalah bersifat sukarela dan bukan suatu kewajipan bagi pengusaha premis makanan, berpandukan Akta Perihal Dagangan 2011 (APD 2011) di bawah Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) dan (Takrif Halal) 2011.

Katanya, setakat ini, tiada peraturan yang mewajibkan mana-mana syarikat untuk mendapatkan SPHM daripada JAKIM atau Jabatan Agama Islam Negeri atau Majlis Agama Islam Negeri.

“Cadangan untuk mewajibkan pensijilan halal kepada semua premis makanan memerlukan pandangan daripada pelbagai pihak,” katanya.

Justeru, beliau menasihatkan semua pengusaha restoran dan pengeluar produk makanan supaya mendapatkan sijil halal daripada JAKIM bagi memastikan jaminan halal serta kualiti makanan disediakan, di samping meningkatkan keyakinan pengguna.

 


Pengarang :