SELANGOR

Henti ‘cakap-cakap’ politik, tumpu pulih ekonomi – Azmin

OLEH NORHAYATI UMOR

SEMENYIH, 6 JAN: Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali mahu semua pihak menghentikan ‘cakap-cakap’ politik yang merugikan sebaliknya menumpukan pembelaan rakyat negara ini.

Beliau berkata, selepas Pakatan Harapan (PAKATAN) menang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan membentuk Kerajaan Persekutuan, tumpuan kini adalah memulihkan ekonomi dan bukannya berbalah dalam isu politik.

“Tanggungjawab kita ialah memberi aspirasi kepada rakyat bukan lagi bercakap pasal hutang negara dan apa dilakukan kerajaan terdahulu.

“Rakyat sudah bosan dengan cakap-cakap politik, menyalahkan antara satu sama lain dan bercakap pasal hutang,” katanya kepada media selepas Majlis Penyerahan Kunci Perumahan ‘Simfoni’ Rumah Selangorku @ EcoMajestic di sini.

Mohamed Azmin yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi berkata, PAKATAN kini sedang merancang untuk memastikan pembangunan ekonomi negara terus dirancakkan.

“Kita tidak mahu satu dua isu menjejaskan pembangunan. Kita juga tidak mahu bincang hal hutang sahaja. Kita turut fikirkan macam mana nak kembangkan ekonomi negara.

“Kita juga tak mahu mana-mana pihak ambil kesempatan sehingga kita sendiri terabai dengan urus tadbir,” katanya.


Pengarang :