SELANGOR

Karnival 3W dilancar 10 Februari, promosi khidmat negeri

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 31 JAN: Karnival 3W (Women, Welfare & Wellness) akan diperkenalkan bagi mempromosi pelbagai bantuan dan khidmat ditawarkan Kerajaan Negeri kepada rakyat.

EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, karnival yang memfokuskan wanita, kebajikan dan kesihatan itu menjadi medan interaksi dengan masyarakat.

Katanya, ia akan dilancarkan pada 10 Februari ini, dengan tema Sambutan Hari Kanser Sedunia, di Padang Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Pandan Indah.

“Karnival ini akan diadakan dari jam 7 pagi hingga 10.30 malam dengan pelbagai aktiviti antaranya program 10,000 Langkah, Slim Selangor, Forum Sihat Selangor dan beberapa pertandingan membabitkan kanak-kanak, wanita serta Orang Kelainan Upaya (OKU).

“Program sebelah malam pula akan diselitkan dengan persembahan hiburan menampilkan selebriti tanah air yang turut memberi pengisian khusus berkaitan program pemberdayaan kaum bapa,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Ramah Mesra Media dan Pra Pelancaran Karnival 3W 2019, di Lobi Utama Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri, di sini.

Katanya, karnival itu juga akan menjelajah ke 11 Pihak Berkuasa Tempatan lain, pada setiap bulan dengan tema berbeza berdasarkan sambutan hari penting, pada bulan terbabit.

Siti Mariah berkata, Majlis Bandaraya Petaling Jaya akan menganjurkannya dengan tema Hari Kasih Sayang dan Hari Tibi; Majlis Perbandaran Klang (Hari Wanita dan Hari Buah Pinggang); Majlis Daerah Kuala Langat (Hari Kesihatan Sedunia) dan Majlis Perbandaran Sepang ( Hari Tanpa Tembakau dan Hari Jururawat).

“Selain itu, Majlis Perbandaran Selayang (Hari Sifar Denggi); Majlis Daerah Kuala Selangor (Hari Sukarelawan Selangor); Majlis Bandaraya Shah Alam (Hari Penyusuan Ibu) dan Majlis Perbandaran Kajang (Hari Jantung).

“Manakala, Majlis Perbandaran Subang Jaya (Hari Mental dan Hari Warga Emas); Majlis Daerah Sabak Bernam (Hari OKU dan Hari HIV) dan Majlis Daerah Hulu Selangor (Hari Kanak-kanak dan Hari Diabetes),” katanya.

Karnival itu turut mendapat kerjasama agensi seperti Jabatan Kesihatan Selangor, Jabatan Kebajikan Masyarakat Selangor, Jabatan Pembangunan Wanita, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara, Pusat Wanita Berdaya, Majlis Tindakan OKU Selangor dan Persatuan Taska Selangor.

 


Pengarang :