NASIONAL

Khalid: Najib tauke ‘rembat’ duit rakyat

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 19 JAN: Mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak didakwa sebagai individu bergelar tauke yang mengambil hak dan wang rakyat Malaysia, kata Menteri Wilayah, Khalid Abdul Samad.

Kenyataan itu dikeluarkan Ahli Parlimen Shah Alam itu sebagai sindiran kepada kenyataan Najib yang mengaitkan Khalid sebagai tauke Harapan Coin di media sosial.

“Oh, sebelah kiri saya ini tauke Harapan Coin. Hari itu terpegun naik MRT. Jangan dia terkejut Cameron ada strawberi sudahlah,” kata Najib menerusi ciapan dengan sekeping gambar di Facebook.

Kenyataan itu diulas Khalid di Twitternya, semalam dan mengaitkan Najib dengan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Kenalkan sebelah saya ini tauke 1MDB. Saja nak bagitahu, baik jadi tauke Harapan Coin daripada jadi tauke 1MDB rembat duit rakyat,” sindirnya.

Harapan Coin merujuk kepada pelaksanaan dasar berkebajikan baharu di bawah Kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) diumumkan Khalid sebelum ini.

Untuk rekod, selepas tumbang pada Pilihan Raya Umum lalu, Najib kerap menggunakan media sosial miliknya bagi tujuan provokasi terhadap dasar PAKATAN.

Tindakan itu sebelum ini disifatkan Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua sebagai publisiti murahan.

Bidasan dan hantarannya yang sering memperlekehkan kerajaan PAKATAN dan pemimpinnya di Facebook dan Twitter menyaksikan beliau kini bergelar “Raja Troll”.


Pengarang :