SELANGOR

Larangan merokok di tempat awam terima reaksi positif

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

PETALING JAYA, 1 JAN: Penguat kuasaan larangan merokok di semua restoran dan premis makanan, sejak tengah malam tadi mendapat reaksi positif orang ramai.

Tinjauan SelangorKini di beberapa kedai makan, di sekitar Petaling Jaya mendapati, kebanyakan pengunjung yang datang mematuhi peraturan dan akur dengan notis larangan merokok ditampal pengusaha premis berkenaan.

Melalui pemerhatian sehingga jam 4 petang tadi turut mendapati premis makanan terbabit lebih terkawal dan bebas daripada pencemaran asap rokok, sekali gus memberi keselesaan kepada pengunjung untuk menjamu selera.

Seorang pengunjung, Mohd Haniff Abd Hashim, 32, berkata walaupun sudah menjadi tabiatnya merokok di restoran selepas makan, tetapi dia akur dengan larangan dikeluarkan itu supaya tidak menjejaskan kesihatan pengunjung lain.

Katanya, langkah terbabit secara tidak langsung menjadikan premis makanan lebih bersih daripada pencemaran asap rokok.

“Ada betulnya juga larangan ini kerana tindakan merokok di tempat awam seperti kedai makan seolah meragut hak orang ramai untuk mendapatkan udara segar.

“Bagaimanapun, saya berharap kerajaan boleh menyediakan ruang khas bagi perokok tegar seperti saya untuk melepaskan ‘gian’ merokok,” katanya.

Sementara itu, pengusaha restoran, Razali Maarup, 45, berkata tindakan menguat kuasakan larangan berkenaan disifatkan wajar memandangkan sudah tiba masanya kerajaan bertindak tegas dalam perkara itu.

Katanya, pelaksanaan itu secara tidak langsung turut menggembirakan peniaga lain sepertinya yang sentiasa menitikberatkan aspek kebersihan kedai demi kebaikan pelanggan.

“Bila dikuat kuasakan banyak kelebihan terutama daripada segi kebersihan dan kesihatan individu itu sendiri. Kedai juga tidak akan kotor dengan abu dan puntung rokok,” katanya.

Bagaimanapun, Razali yang menjalankan operasi restoran terbabit sejak tiga tahun lalu mengakui masih terdapat segelintir pelanggan, khususnya warga asing yang mengingkari notis berkenaan, pagi tadi.

“Mungkin mereka tidak faham lagi tetapi kita sudah tegur. Kita boleh nasihat mereka tetapi kalau mereka berdegil, tanggunglah sendiri akibatnya,” katanya.

Terdahulu, semua premis makanan digazetkan sebagai tempat larangan merokok, bermula 1 Januari, selari dengan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan) 2018.

Jika individu didapati melakukan kesalahan merokok di tempat larangan boleh didenda sehingga RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun di bawah Peraturan 11, Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004.


Pengarang :