SELANGOR

MB luang masa sarapan dengan penduduk

OLEH NADIAH ZAMLUS

GOMBAK, 1 JAN: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkesempatan menjamu sarapan pagi bersama penduduk di Medan Selera Pasar Selayang Baru sempena Program Turun Padang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua, pagi tadi.

Beliau yang juga Ahli Dewan Negeri Sungai Tua tiba pada jam 10.30 pagi sempat beramah mesra dengan orang ramai yang mengunjungi pasar pagi, di lokasi sama.

Pada masa sama, anggota Angkatan Muda Keadilan (AMK) turut menyerahkan sumbangan kalendar tahun baru kepada pengunjung sebagai cenderahati.

Ketua Kampung Sungai Kertas, Jamil Azaman Razak berkata, program terbabit diadakan saban tahun bersama Amirudin sebelum beliau bergelar Dato’ Menteri Besar lagi.

Katanya, ia sebagai objektif Amirudin menyantuni masyarakat setempat selain beramah mesra bagi mengetahui permasalahan setempat bersama barisan kepimpinan kawasan DUN Sungai Tua.

“Sememangnya medan selera pasar ini menjadi tumpuan Amirudin kerana ia turut dikunjungi masyarakat daripada pelbagai kaum dari seluruh Selangor.

“Selama wujud hampir 40 tahun di sini, peniaga masih mengekalkan kualiti makanannya sehingga ia menjadi tumpuan setiap minggu,” katanya.

 


Pengarang :