PBTSELANGOR

MDKL lebih agresif tingkat mutu perkhidmatan

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

BANTING, 8 JAN: Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) akan mengambil pendekatan lebih agresif dalam pelbagai sudut bagi meningkatkan mutu perkhidmatan, sekali gus mencapai tahap kemajuan setanding bandar lain.

Yang Dipertuanya, Mohamad Zain A Hamid berkata, ia juga bertepatan dengan hasrat Pihak Berkuasa Tempatan terbabit untuk dinaik taraf kepada Majlis Perbandaran dalam masa terdekat.

“Bermula tahun ini, kita akan sentiasa turun padang bagi menemui rakyat dan penduduk dalam sesi ‘Town Hall’ yang akan diadakan dengan lebih kerap supaya hubungan dua hala dapat dicapai bagi menyampaikan maklumat serta maklum balas dalam kalangan penduduk.

“Justeru, semua penduduk disaran untuk bersama berganding bahu dalam memajukan daerah ini dan memahami antara satu sama lain, selain memahami fungsi sebenar MDKL sebagai sebuah PBT di daerah ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, penduduk di daerah itu turut digesa supaya sentiasa menitikberatkan isu penjagaan alam sekitar dengan tidak membuang sampah merata-rata, mahupun mencipta sebuah kawasan sampah haram.

Katanya, budaya mencintai alam sekitar dan menjaga kebersihan kawasan persekitaran perlu diterapkan dalam kalangan penduduk, khususnya dalam menuju ke arah Majlis Perbandaran.

“Orang akan berkata, inilah tahap pemikiran penduduk Kuala Langat. Buang sampah merata-rata. Siapa yang malu? Kita seluruh warga daerah Kuala Langat yang akan menerima tempiasnya akibat perbuatan segelintir masyarakat tidak bertanggungjawab,” katanya.

Beliau turut melahirkan rasa syukur terhadap perkembangan pesat daerah itu yang memiliki pelbagai kemudahan jalinan lebuh raya dan kemasukan pelabur, seterusnya menyumbang kepada peningkatan pembangunanan seperti perumahan, perkilangan, pelancongan serta perindustrian.


Pengarang :