NASIONAL

MNPC bakal dimansuhkan tahun ini

PUTRAJAYA, 28 JAN: Malaysia Nuclear Power Corporation (MNPC) akan dimansuhkan tahun ini, kata Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC), Yeo Bee Yin.

Katanya, ini kerana tiada keperluan untuk Malaysia menjana elektrik menerusi kuasa nuklear.

“Kita memang tidak akan rancang untuk laksana penjanaan kuasa yang menghasilkan radioaktif,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan amanat kepada warga MESTECC pada Program MESTECC 2019: Kuasai. Laksana. Ungguli. (Own it. Do It. Ace It) di sini, hari ini.

Pada September lalu, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan tidak ada rancangan membangunkan kuasa nuklear bagi menjana elektrik di Malaysia berikutan risiko-risiko yang berkaitan dengannya.

Terdahulu, Bee Yin dalam ucapan perasmiannya mengumumkan 73 inisiatif sebagai kerangka hala tuju kementerian tahun ini.

Inisiatif itu dibahagikan kepada tiga sektor utama merangkumi Tenaga dengan 20 inisiatif; Sains, Teknologi dan Inovasi (22) serta Alam Sekitar (20).

“Ia turut disokong lima inisiatif Kecemerlangan Organisasi dan enam bagi isu-isu strategik dengan melibatkan lebih daripada 150 pelan tindakan akan dilaksanakan,” katanya.

Di bawah sektor alam sekitar, Bee Yin berkata pihaknya akan mempertingkatkan penguatkuasaan sehingga 100 peratus dalam menangani isu alam sekitar bagi tahun ini.

Katanya, pihaknya memfokuskan usaha itu ke atas kilang kitar semula plastik pada suku pertama tahun ini.

“Kerajaan sedang lipat ganda usaha menahan atau mendakwa (individu atau syarikat) yang melakukan kesalahan alam sekitar,” ​​​katanya.

– BERNAMA


Pengarang :