PBTSELANGOR

MPSJ perketat pemantauan premis makanan

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SUBANG JAYA, 30 JAN: Penguatkuasaan dan pemantauan terhadap premis atau gerai di Majlis Pentadbiran Subang Jaya (MPSJ) akan sentiasa diperketat sepanjang Januari hingga Februari ini.

Yang Dipertuanya, Noraini Roslan berkata, tindakan tegas akan dikenakan ke atas pengusaha premis makanan yang gagal mematuhi peraturan ditetapkan, terutama daripada aspek kesihatan, kebersihan dan keselamatan.

“Kita menyasarkan setiap premis makanan berlesen supaya diperiksa sekurang-kurangnya sekali setahun.

“Sepanjang tempoh pemantauan itu, semua premis atau gerai di kawasan pentadbiran MPSJ akan diperiksa dan digredkan. Jika kami dapati premis berkenaan mendapat gred C atau D, maka arahan serta notis tutup dikeluarkan serta merta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Penuh MPSJ Bil.1/2019, di Ibu Pejabat MPSJ, di sini, hari ini.

Noraini berkata, pihaknya juga komited untuk terus menjalankan pemeriksaan susulan sekitar pertengahan tahun ini.

“Jika premis atau gerai terbabit masih mendapat gred C atau D, kita akan membatalkan penyewaan pengusaha premis makanan dan penyewaan akan dibuka kepada penyewa baharu yang berminat serta mematuhi syarat ditetapkan,” katanya.


Pengarang :