Seramai 16,877 anggota polis, tentera dan pasangan mereka menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi awal PRN Sabah di 55 pusat mengundi.
NASIONAL

PRK Cameron Highlands: Peratusan belia keluar mengundi rendah

TANAH RATA, 26 JAN: Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) mendapati kelibat anak muda keluar mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands berkurangan.

Presidennya, Jais Abdul Karim berkata, berdasarkan pemerhatian pasukannya di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Kea Farm, hampir tiada anak muda yang mengundi dan hanya golongan dewasa yang beratur bagi giliran mengundi.

“Kita juga mendapat input bahawa peratusan pengundi kaum Tionghua akan berkurangan memandangkan Tahun Baharu Cina jatuh dalam tempoh 10 hari lagi, mungkin mereka (anak muda Cina) memikirkan perlu pulang ke Cameron Highlands dua kali.

“Ia sedikit sebanyak (akan) mempengaruhi peratusan undi,” katanya kepada BERNAMA.

Katanya, walaupun setakat ini laporan pemerhatian mengatakan proses perjalanan PRK Cameron Highlands adalah lancar, namun beberapa kawasan mula lengang dengan kekurangan pengundi secara amnya.

“Pusat mengundi di sekitar Kea Farm, Brinchang dan Ringlet semakin lengang (setakat 12 tengah hari), mungkin pengundi akan datang selepas waktu makan tengah hari, sebab ada yang bekerja sebelah pagi,” katanya.

MCW merupakan antara badan bukan kerajaan yang dilantik Suruhanjaya Pilihan Raya sebagai pemerhati selain Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0), OKU Sentral dan Badan Bebas Pemantau Pilihan Raya Malaysia (Mafrel) yang turut bertugas di PRK Cameron Highlands.


Pengarang :