NASIONALWANITA & KEBAJIKAN

ROSE permudah wanita periksa kanser serviks di rumah

OLEH NADIAH ZAMLUS

KUALA LUMPUR, 14 JAN : Malaysia sekali lagi mencipta sejarah apabila menjadi negara pertama melaksanakan Program Penyaringan Penghapusan Kanser Serviks (ROSE) yang bertujuan untuk mencegah Kanser Pangkal Rahim menjelang 2030.

Ketua Penyelidik ROSE, Profesor Dr Woo Yin Ling berkata, melaluinya, ia menggabungkan tiga komponen termasuk pensampelan sendiri, ujian jangkitan virus human papilloma (HPV) dan platform digital yang memantau keseluruhan perjalanan melalui sistem teknologi bersepadu.

Katanya, revolusi menerusi Program ROSE itu selari dengan sasaran untuk mencegah kanser pangkal rahim menjelang 2030 dalam kalangan wanita berusia 35 hingga 45 tahun di negara ini.

“ROSE memberi lebih masa privasi kepada golongan wanita untuk membuat pensampelan sendiri sekali gus menggalakkan lebih banyak wanita untuk menyertainya.

“Kita tidak mahu disebabkan rasa malu untuk menjalankan ujian ini menyebabkan kanser ini menjadi antara punca utama kepada ramai wanita menderita dan mati akibat kanser pangkal rahim,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Pelancaran Revolusi Penyaringan Penghapusan Kanser Serviks (ROSE) di Hotel Majestic, di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dzulkefly Ahmad dan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh.

Yin Ling yang juga Pakar Perunding Obstetrik Universiti Malaya (UM) berkata, wanita boleh melakukan persampelan sendiri iaitu dengan menggunakan kit ujian berbentuk putik kapas dan bekas silinder khas disediakan tetapi keputusannya boleh diproses dengan segera.

Katanya, kit itu tidak memerlukan peralatan klinikal khusus seperti pap smear, tetapi penguji boleh melakukan sendiri bagi mengambil sampel di vagina.

“Sampel kemudian dibungkus dengan selamat sebelum dihantar ke makmal untuk ujian selanjutnya. Kaedah penghantaran sama ada menghantar sendiri, menggunakan perkhidmatan e-hailing atau pekerja penghantaran.

“Kami bekerjasama dengan syarikat telekomunikasi untuk menghantar keputusan ujian melalui khidmat pesanan ringkas (SMS). Kaedah ini memudahkan wanita dan tidak perlu datang ke makmal mengambil keputusan ujian, selain mengelak kemungkinan dokumen keputusan tercicir,” katanya.

Untuk rekod, kanser serviks adalah kanser keempat paling kerap dihidapi wanita di peringkat global yang menyebabkan kira-kira 270,000 kematian pesakit wanita di seluruh dunia.

Di Malaysia, kanser serviks, adalah penyakit ketiga yang paling kerap dihidapi wanita dan kira-kira 2,000 kes dilaporkan setiap tahun.


Pengarang :