SELANGOR

Sekolah kawasan Sepang makin padat – ADN Dengkil

OLEH NADIAH ZAMLUS

SEPANG, 14 JAN : Pertambahan murid saban tahun menyebabkan sekolah-sekolah di sekitar Daerah Sepang semakin padat dan dibimbangi mendatangkan rasa tidak selesa dalam kalangan pelajar mahupun guru.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Dengkil, Adhif Syan Abdullah berkata, masalah itu turut berlaku atas faktor kepadatan penduduk serta pembangunan bandar baru di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Dengkil khususnya Sepang.

“Ketika turun padang ke sekolah-sekolah, saya dapati ada pelajar bagi sesebuah sekolah menengah mencecah sehingga 2,000 orang, dan sesi persekolahan terpaksa dibuat dua sesi.

“Walaupun begitu, bilangan murid dalam setiap kelas masih ramai dan jelas ia akan menyebabkan rasa kurang fokus dan tidak selesa buat pelajar mahupun guru,” katanya kepada SelangorKini.

Adhif berkata, isu berkenaan perlu dipandang serius bagi membolehkan pelajar kembali selesa.

Katanya, antara rancangan jangka masa pendek yang boleh diambil ialah membina blok baru dalam kawasan sekolah sedia ada, namun bagi penyelesaian jangka panjang,
pembinaan sekolah baru perlu diwujudkan.

“Antara kawasan cadangan bagi sekolah baru adalah di Kota Warisan untuk sekolah kebangsaan, sementara di Bandar Bukit Puchong adalah sekolah menengah.

“Perkara ini perlu dipertimbangkan segera kerana setiap tahun kita bakal menerima murid baharu yang mendaftar ke sekolah.

“Saya berharap perkara ini mendapat perhatian sewajarnya dari Kementerian Pendidikan dan pihak berkaitan,” katanya.


Pengarang :