NASIONAL

APMM sekat aktiviti bom ikan di Perairan Semporna

SEMPORNA, 12 FEB: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menyekat aktiviti dua lelaki mengebom ikan di perairan Tanjung Tabu-Tabu dekat sini, semalam.

Pengarah Zon Maritim Semporna, Komander Maritim Norrimi Hassan berkata, bot peronda yang menjalankan tugasan rutin terserempak bot pam mencurigakan dinaiki dua lelaki, pada jam 3.35 petang sebelum bot memecut laju ke kawasan paya bakau dan suspek meloloskan diri.

“Tiada tangkapan dilakukan, namun pemeriksaan ke atas bot pam menemui lima kilogram ikan disyaki di bom,” katanya dalam kenyataan, lapor BERNAMA.

Katanya, sebanyak tiga kes bom ikan digagalkan di Zon Maritim Semporna dan satu kes, pada 2015.

Beliau berkata, pihaknya akan terus meningkatkan rondaan dan penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi mengekang perlanggaran undang-undang dan perlakuan jenayah di perairan Semporna.

Pada masa sama, Norrimi memohon kerjasama semua pihak supaya tidak takut menyalurkan maklumat dan aduan ke Zon Maritim Semporna di talian 089-782619 atau MERS 999.

*Sumber: BERNAMA


Pengarang :