EKONOMINASIONAL

Ekonomi Malaysia diunjur tumbuh 4.6% tahun ini

KUALA LUMPUR, 12 FEB: Ekonomi Malaysia dijangka bertahan pada tahap perlahan, pada 4.6 peratus tahun ini, sama seperti diunjurkan pada 2018.

RHB Research dalam notanya hari ini berkata, ia ekoran persekitaran global lebih mencabar, dengan perlindungan perdagangan yang berlarutan selain peningkatan kadar faedah global.

Katanya, pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) pada suku keempat 2018 juga dijangkakan menyederhana kepada 4.2 peratus tahun ke tahun, daripada 4.4 peratus pada suku ketiga.

“Pertumbuhan Indeks Pengeluaran Perindustrian Malaysia (IPP) bagi Disember meningkat 3.4 peratus tahun ke tahun, sejajar dengan anggaran firma penyelidikan berkenaan, namun lebih tinggi daripada konsensus Bloomberg pada 2.7 peratus.

“Ini berlaku susulan pertumbuhan pengeluaran yang sejajar dengan peningkatan eksport, manakala aktiviti perlombongan melantun berbanding penurunan pada bulan sebelumnya,” katanya.

Bagaimanapun, RHB Research berkata, peningkatan pada akhir 2018 tidak dapat menghalang IPP daripada beralih kepada tahap tahunan paling lemah dalam tempoh tujuh tahun kepada 3.1 peratus susulan penurunan permintaan luar bagi barangan pembuatan selain gangguan bekalan dalam sektor perlombongan.

*Sumber: BERNAMA


Pengarang :