NASIONAL

Azhar: SPR teruskan PRK Semenyih

SEMENYIH, 25 FEB: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan meneruskan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih seperti ditetapkan pada 2 Mac, kata Pengerusinya, Azhar Azizan Harun.

Ini susulan keputusan mahkamah berkaitan PRK itu yang memihak kepada suruhanjaya berkenaan.

“SPR menyambut baik keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini yang memutuskan bahawa semua keputusan dibuat SPR berhubung proses PRK DUN Semenyih adalah sah dan mematuhi peruntukan undang-undang sedia ada serta menolak tuntutan saman yang dibuat seorang pengundi berdaftar di Semenyih terhadap SPR.

“Sehubungan itu, SPR akan meneruskan PRK Semenyih sepertimana telah ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan, lapor BERNAMA.

Esok ialah hari pengundian awal bagi PRK itu.

Kerusi Semenyih kosong susulan kematian penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor, 57, pada 11 Januari lalu akibat serangan jantung.

PRK DUN Semenyih menyaksikan pertembungan empat penjuru antara calon Pakatan Harapan, Muhammad Aiman Zainali, Zakaria Hanafi (Barisan Nasional), Nik Aziz Afiq Abdul (Parti Sosialis Malaysia) dan calon Bebas, Kuan Chee Heng.


Pengarang :