NASIONAL

Azmin doa hubungan dengan Anwar berkekalan sepanjang zaman

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 7 FEB: Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali mendoakan hubungan dengan Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkekalan sepanjang zaman.

Mantan Dato’ Menteri Besar Selangor itu berkata demikian setelah Anwar bersama isterinya, yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail meluangkan masa melawatnya di rumah, semalam.

Azmin menerusi twitternya turut meluahkan penghargaan ikhlasnya terhadap pimpinan utama KEADILAN itu.

“Tawa dan riang, ceria dan mesra, hormat dan kasih, ukhuwwah dan sejati antara gambaran yang terpapar secara tulus di antara dua hati. Semoga berkekalan sepanjang zaman,” tulisnya.

Kehadiran Anwar di kediaman Timbalan Presiden KEADILAN itu turut merungkai khabar angin berhubung salah faham antara kedua-dua pemimpin itu yang ditimbulkan pihak tidak bertanggungjawab.

Sementara itu, pengguna laman twitter, @cyog86 turut gembira melihat perkongsian Azmin berkenaan perkembangan itu.

“Alhamdulillah Dato’, sejuk mata memandang, gandingan inilah yang kita mahukan sampai bila-bila,” tulisnya.

@RezaShahFahlavi pula berkata, gandingan kedua-dua pemimpin itu ditakuti pembangkang.

“Pejuang Reformasi, bersama suburkan demokrasi,” tulisnya.

Azmin kini sedang berehat setelah selesai menjalani pembedahan di sebuah hospital swasta baru-baru ini.


Pengarang :