EKSKLUSIFNASIONAL

Kumpul 400 pin Hard Rock seluruh dunia

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 7 FEB: Kebiasaannya peminat Hard Rock Cafe lebih berminat untuk mengumpul baju sebagai koleksi peribadi mereka.

Namun, berbeza bagi Aszlizan Ali Shamsudin apabila beliau mempunyai hobi mengumpulkan pin Hard Rock, dari seluruh dunia.

Dia yang lebih mesra disapa Zizan itu berkata, sehingga kini beliau sudah mempunyai lebih daripada 400 pin termasuk dari Reykjavik, Iceland.

“Saya mula jatuh cinta untuk mengumpulkan pin ini sekitar tahun 2013 apabila ternampak pin comel berkenaan. Ketika itu, difahamkan setiap Rock Shop (kedai cenderahati Hard Rock) ada menjualnya dengan pelbagai reka bentuk.

“Sejak itu, saya mula berminat dan jika melancong ke luar negara sudah pasti akan singgah mana-mana Rock Shop untuk membeli koleksi pin terbaru,” katanya.

Lelaki berusia 34 tahun itu berkata, hobi itu juga membuatkannya mengenali rakan dari luar negara yang turut mempunyai minat sama.

“Ini kerana, hampir setiap tahun Hard Rock Cafe Bangkok akan menganjurkan Hard Rock Pin Fest iaitu acara yang membolehkan pengumpul pin bertukar secara suka sama suka pin yang dimiliki mereka.

“Selain menjimatkan kos daripada membeli, sekurang-kurangnya kita dapat mengenali budaya masyarakat luar.

“Pada saya, tidak salah mempunyai hobi yang pelbagai. Ini kerana melalui hobi sebeginilah seseorang itu dapat mengurangkan tekanan selain dapat meluangkan masa ke arah lebih baik,” katanya.

 


Pengarang :