SELANGOR

BN tiada hujah main isu umur

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

SEMENYIH, 27 FEB: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari menyifatkan pembangkang tidak mampu berhujah apabila hanya memperlekehkan soal umur calon, dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih.

Beliau berkata, pihak yang memperlekeh umur calon Pakatan Harapan (PAKATAN) lupa bahawa mereka juga pernah menjadi wakil rakyat ketika muda.

“Bila sudah tak mampu berhujah, dia perlekeh umur calon kita. Orang yang perlekeh itu lupa bahawa dia pernah jadi wakil rakyat dan menteri besar ketika umur 20 ke 30-an.

“Pengalaman PAKATAN dalam mengemukakan tokoh muda tidak pernah mengecewakan, banyak pemimpin muda PAKATAN mampu berbakti dan menjalankan amanah dengan baik.

“Saya bagi contoh Syed Saddiq, wakil rakyat dan menteri yang muda, beliau mampu buat pelbagai agenda membangunkan belia serta sukan negara, antaranya membawa kontijen Malaysia ke sukan Asia.

“Kerana mudanya itu, beliau tahu dan faham cara melaksanakan kerja dengan cara berbeza dan lebih segar,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Agenda Aiman4Semenyih, di Pangsapuri Bandar Rinching, di sini, malam tadi.

Pada masa sama, beliau berkata, petah berpidato bukan faktor utama dalam memilih pemimpin, sebaliknya individu itu perlu memiliki idea, fikiran dan semangat untuk berbakti kepada negara.

Terdahulu, mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyindir calon PAKATAN supaya tidak menjadi calon jika tidak pandai bercakap.

 


Pengarang :