GLOBAL

Dua kapal perang Malaysia sertai Aman Exercise 2019 di Karachi

KARACHI, 8 FEB: Dua aset Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), kapal KD Mahawangsa dan KD Kasturi, menyertai latihan tentera laut multinasional “Aman Exercise 2019” di Karachi, Pakistan mulai hari ini.

Kehadiran dua aset perang TLDM dalam latihan multinasional itu bertujuan meningkatkan kerjasama dan kefahaman tentera laut lebih 45 negara peserta, termasuk 11 tentera laut yang menghantar aset kapal, helikopter serta pasukan khas.

Ia sekali gus membuktikan kerjasama rapat antara Malaysia dan Pakistan, lapor BERNAMA.

Delegasi Malaysia ke edisi keenam Aman Exercise yang dianjurkan Tentera Laut Pakistan dua tahun sekali sejak 2007 itu turut menyaksikan pembabitan pasukan khas laut (PASKAL) dan pasukan pemusnah bom (EOD) TLDM.

Delegasi Malaysia dalam latihan mutinasional selama lima hari sehingga 12 Februari itu diketuai Panglima Wilayah Laut Tiga TLDM, Laksama Pertama Mohamad Azuwan Harun.

Majlis pelancaran latihan multinasional di Pangkalan Tentera Laut Pakistan di Karachi itu dirasmikan Panglima Tentera Laut Pakistan, Laksamana Zafar Mahmood Abbasi dan Komander Armada Pakistan, Laksamana Madya Muhammad Amjad Khan Niazi.


Pengarang :