NASIONAL

JPJ keluar 32,725 saman sepanjang Ops Tahun Baharu Cina

KUALA LUMPUR, 17 FEB: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengeluarkan 32,725 saman daripada 128,569 kenderaan yang diperiksa sepanjang Operasi Penguatkuasaan Perayaan Tahun Baharu Cina 2019 yang dijalankan selama dua minggu.

JPJ memaklumkan, jumlah itu menunjukkan penurunan berbanding 40,660 saman yang dikeluarkan daripada 110,755 jumlah kenderaan yang diperiksa pada operasi sama tahun lalu.

“Ini menunjukkan kadar pematuhan terhadap peraturan dan undang-undang jalan raya semakin meningkat di kalangan masyarakat negara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan itu, bagi kesalahan utama pula JPJ mengeluarkan 12,433 saman termasuk 8,632 kesalahan di bawah operasi kamera Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS).

JPJ juga memeriksa 649 bas di 77 buah depoh seluruh negara serta mengeluarkan lapan notis Larangan Penggunaan Kenderaan (PG1), memeriksa 11,176 bas di 28 terminal seluruh negara dan menahan lapan lesen memandu pemandu bas yang gagal pemeriksaan saringan urin.

“Bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya dan orang awam yang menggunakan perkhidmatan bas ekspres juga, Op Penyamaran sebagai penumpang bas ekspres dilaksanakan dan sebanyak 97 saman dikeluarkan daripada 753 buah bas ekspres yang dinaiki,” katanya.

JPJ turut menyita 14 kenderaan dan mengeluarkan 39 notis atas keingkaran arahan larangan yang ditetapkan sepanjang tempoh larangan penggunaan kenderaan barangan selama lima hari iaitu pada 2 hingga 4 Februari (sebelum cuti perayaan) serta 9 dan 10 Februari (selepas cuti perayaan).

Dalam pada itu, JPJ turut bekerjasama dengan polis, Agensi Anti Dadah Kebangsaan, Jabatan Imigresen, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Keselamatan Jalan Raya dalam Op Khas Motosikal bagi memastikan keselamatan dan pematuhan undang-undang dalam kalangan penunggang motosikal.

Op Khas Motosikal yang dilaksanakan serentak di seluruh negara telah menyita 186 kenderaan dan mengeluarkan 7,668 saman yang mana kesalahan tertinggi adalah tiada lesen memandu (2,788 saman) diikuti Lesen Kenderaan Motor tamat tempoh (1,751 saman).

– BERNAMA

 


Pengarang :