SASTERA

Kain pelikat abah

Oleh Muhammad Fareed

ABAH selalu menjadi penghalang sewaktu aku hendak bersenggama dengan ilham. Setiap kali Maghrib, sewaktu ilham baru saja muncul, abah akan menerjah masuk ke dalam bilikku untuk bertanyakan tentang kain pelikatnya. Selalunya kain pelikat itu memang ada terselit dalam timbunan pakaianku di almari. Aku tak tahu bagaimana ia boleh tersesat. Tapi aku syak ada kaitan dengan ibu ataupun kak long.

Kerja melipat pakaian kerja ibu. Kadangkala kerja kak long. Semenjak jatuh sakit, ibu tidak larat lagi untuk melakukan kerja itu. Berjalan empat lima langkah pun dia tidak mampu. Masanya banyak dihabiskan dengan terbatuk-batuk di atas katil. Tanpa mengira masa; batuknya pasti akan melantun dari dalam bilik walau pada lewat malam sekalipun.

Sejak itu, kak long yang mengambil alih tanggungjawab melipat pakaian. Dek kekangan kerja, biasanya kak long akan melipat pakaian sama ada pada waktu malam atau hujung minggu. Pakaian pada hujung minggu biasanya bertimbun-timbun. Pakaian yang dikumpulkan untuk seminggu. Jadi, tidak mustahil boleh berlakunya kecelaruan dalam asingkan pakaian-pakaian itu. Lagipun, kain pelikat selalunya memiliki corak yang lebih kurang sama. Pasti sukar untuk kak long menentukan mana satu kain pelikat aku, mana satu kain pelikat abah.

Tak mahu mencetus pergaduhan, aku diamkan saja perkara itu. Sehinggalah pada suatu senja, sewaktu sedang melihat timbunan pakaian di atas sofa, aku dapat merasakan petanda kehadiran ilham agung. Otakku ligat berpusing memproses ilham itu masuk ke ruang fikiran. Tanpa berlengah, aku bergegas masuk ke dalam bilik; bersiaga di meja tulis dengan sebatang pen dan sebuah buku nota.

“Pit, nampak kain pelikat abah?”

Seperti biasa, ilhamku itu hilang serta-merta. Sambil berkemban tuala, abah menyeluruhi bilikku dari muka pintu. Selang beberapa saat, dia melangkah masuk dan mencapai kain pelikatnya yang terselit dalam celahan pakaian di almari. Untuk pengetahuan kau, almari aku memang tidak bertutup. Pintu gelangsarnya telah pecah beberapa tahun dahulu kerana ditumbuk-tumbuk aku apabila stres. Jadi, segala pakaian di dalam almari itu dari muka pintu.

Malam itu, sewaktu sedang terbaring merenung siling, aku mendapat satu idea. Hanya ada satu cara untuk menghalang abah daripada meragut ilhamku: memastikan kain pelikatnya tiada di dalam bilik dan mengunci pintu ketika hendak bermesra dengan ilham.

Keesokan harinya, seawal jam enam petang lagi aku sudah keluarkan semua kain pelikat abah. Semuanya aku letakkan di atas sofa ruang tamu. Menjelang jam tujuh, aku masuk ke dalam bilik dan duduk di meja tulis menanti ilham. Pintu ditutup dan dikunci. Aku yakin, abah pasti tidak akan menggangguku lagi. Malangnya…

Klak. Klak. Klak.

Tuk! Tuk! Tuk! Tuk!

“Kau buat apa kat dalam ni?” tanya abah sejurus pintu dibuka.

“Tak pernah-pernah pulak kunci bilik.”

“Tak buat apa-apapun. Abah nak apa ni?”

“Kau jangan macam-macam. Maghrib ni. Kau buat benda tak senonoh eh?”

“Mana ada buat benda tak senonoh. Kan orang tengah menulis ni.”

Abah berdecit.

“Baik kau ikut abah pergi masjid. Daripada duduk terperap dalam bilik ni, dapatlah jugak kau kumpul pahala.”

Aku hanya mendiamkan diri kerana malas melawan. Abah berlalu pergi apabila tidak melihat kelibat kain pelikatnya di dalam almari.

Sejak hari itu, motivasiku untuk menulis merudum bagaikan sungai mengalir deras. Tiada seorang pun pernah memandang serius dengan minatku. Aku tahu itu. Baik abah, ibu ataupun kak long; semuanya menganggap menulis itu suatu kerja yang sia-sia dan tidak menguntungkan. Disebabkan itu, mereka tidak pernah berminat langsung membaca hasil tulisanku.

Berhari-hari aku berhenti menulis semenjak dituduh melakukan perkara tak senonoh oleh abah. Masaku banyak dihabiskan dengan menonton TV, menjaga anak buahku secara percuma, dan membaca buku jika lapang. Biasanya sukar mencari waktu lapang. Melayan kerenah anak buahku lebih memenatkan daripada berjoging di taman rekreasi. Jika dia tertidur kepenatan, aku pun akan terjerumus sama.

Sepanjang tempoh tidak menulis, abah tidak pernah sekalipun masuk ke dalam bilikku untuk mencari kain pelikatnya. Menjelang Maghrib, dia akan keluar dari bilik siap berbaju Melayu dan berkain pelikat. Selepas meletakkan kopiah di atas kepala, dia akan keluar ke masjid dan pulang selepas Isyak.

Pada suatu petang, ketika aku sedang duduk termenung di muka pintu, abah datang dan mengatakan sesuatu yang di luar jangkaan.

“Lama tak nampak kau duduk dalam bilik.”

Kalau nak diterangkan, memang panjang ceritanya. Silap-silap boleh mencetuskan pertengkaran. Jadi aku memilih untuk berdiam diri dan teruskan termenung menatap langit petang berwarna pastel.

“Abah mintak maaf pasal hari tu,” ujar abah dengan nada bersalah. Abah tak patut marah kau macam tu.”

Aku hanya mendiamkan diri. Aku tak sukakan situasi sentimental. Lebih-lebih lagi bila melibatkan ahli keluarga sendiri. Perasaannya terlalu janggal.

Beberapa hari kemudian, aku memutuskan untuk menulis semula. Menjelang senja, aku bergegas masuk ke dalam bilik untuk menjalankan ritual mengorek ilham. Aku tahu abah tidak akan mengganggu. Sudah beberapa hari dia tidak masuk ke bilik untuk mencari kain pelikatnya. Selepas mengunci pintu, aku duduk di meja tulis sambil menghadap halaman kosong di dalam buku nota. Pen dipegang sekemas-kemasnya. Sebaik saja mata pena mencium permukaan kertas…

Klak! Klak! Klak!

Tuk! Tuk! Tuk! Tuk!

Ilhamku sekonyong-konyong hilang. Dari luar, teriakan abah berpusu-pusu menujah gegendang telinga. Pen diletakkan. Buku nota ditutup. Tatkala bangun untuk membuka pintu, mataku tertancap pada sesuatu di pinggir katil. Sehelai kain pelikat bercorak kotak-kotak terlipat tenang di situ. Bukan kain pelikat aku. Tapi kain pelikat abah.


Pengarang :