NASIONAL

Kerajaan giat kaji model penjagaan warga emas

KUALA LUMPUR, 7 FEB: Kerajaan akan melaksanakan kajian diagnostik bagi membentuk model penjagaan warga emas jangka panjang yang bersepadu dan mampan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, langkah itu bertujuan memperbaiki serta meningkatkan Pelan Tindakan Warga Emas Negara di bawah Dasar Warga Emas.

“Ramai anak yang mengabaikan dan mereka bekerja, tidak ada kesempatan untuk menjaga ibu bapa sebab mereka sendiri pun tertekan dengan ekonomi dan kehidupan mereka.

“Jadi kita tengok secara menyeluruh, sebab kalau menghukum namun tidak menyelesaikan masalah pun salah juga,” katanya selepas merasmikan Tasputra Perkim, pusat asuhan harian dan latihan untuk kanak-kanak kelainan upaya di sini, hari ini.

Terdahulu dalam ucapan perasmian, Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat berkata, pertubuhan sukarela kebajikan dilihat sebagai ‘daya kuasa yang kuat’, yang dapat mengembleng usaha-usaha meningkatkan kesejahteraan sosial dalam kalangan masyarakat.

Dr Wan Azizah berkata, usaha KPWKM secara bersendirian tidak mungkin mampu menangani semua isu yang dihadapi golongan wanita, keluarga dan masyarakat.

“Jalinan perkongsian bijak atau smart partnerships dengan pertubuhan sukarela kebajikan merupakan satu daripada kaedah pelaksanaan yang cukup berkesan.

“Kami di kementerian sentiasa mengalu-alukan komitmen serta menggalakkan pertubuhan sukarela kebajikan mahupun sektor korporat untuk mewujudkan sinergi yang diperlukan dalam melaksanakan tanggungjawab tersebut,” katanya.

Sementara itu, Dr Wan Azizah berkata, KPWKM melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah membelanjakan RM13,673,866 untuk 224 pertubuhan sukarela kebajikan termasuk pertubuhan sukarela kebajikan yang mempunyai pusat jagaan seperti Tasputra Perkim sepanjang 2018.

Katanya, pada 2018 juga Tasputra Perkim menerima Elaun OKU sebanyak RM52,200 dan Geran Rangsum untuk keperluan makan minum kanak-kanak sebanyak RM 33,132 daripada JKM.


Pengarang :