SELANGOR

Lebih 1,000 meriahkan Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina DUN Kajang

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

CHERAS, 17 FEB: Biarpun hari Chap Goh Mei yang menandakan berakhirnya perayaan Tahun Baharu Cina hampir tiba, namun Majlis Rumah Terbuka sambutan anjuran Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang tetap berlangsung meriah dengan kehadiran lebih 1,000 penduduk pelbagai kaum.

Perkarangan Jalan Temenggung 13/9, Bandar Mahkota Cheras, di sini, mula dipenuhi pengunjung seawal jam 10 pagi untuk bersama meraikan perayaan yang sinonim dengan masyarakat Tionghua itu.

Ahli Dewan Negerinya, Hee Loy Sian berkata, beliau teruja dan berbangga menerima kehadiran daripada pelbagai kelompok masyarakat, sekali gus membuktikan sokongan terhadap perayaan itu.

“Walaupun kali pertama diadakan di Bandar Mahkota Cheras selepas persempadanan semula DUN Kajang, sambutan amat bagus kerana ramai datang untuk menyambut sambutan ini.

“Saya bangga dengan kehadiran mereka yang sokong perayaan kita di sini,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis itu.

Terdahulu, majlis itu turut dihadiri Ahli Parlimen Bangi, Dr Ong Kian Ming; Naib Presiden KEADILAN merangkap Ketua Cabang Batu, Tian Chua; Ahli Dewan Negeri Bukit Lanjan, Elizabeth Wong dan beberapa ahli kepimpinan lain.

Suasana turut dimeriahkan dengan tarian singa dan tarian tradisi oleh Persatuan Penduduk Vista Hill serta Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yu Hua, selain penyerahan ‘angpow’ kepada kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah yang menjadi tradisi perayaan berkenaan.

Sambil menikmati juadah disediakan, pengunjung turut dihiburkan dengan persembahan Hakka Beat, Hakka Song dan Hakka Kung Fu termasuk Ukulele daripada pelajar SJKC Bandar Sungai Long.

Joget Pahang daripada barisan penari Arcissa Dancers Group dan Tarian Kebudayaan India yang dipersembahkan Natyanjali Art Academy turut memukau pengunjung pada majlis itu.

 


Pengarang :