Selangorkini
NASIONAL

Polis KL tubuh pasukan khas banteras ragut

KUALA LUMPUR, 16 FEB: Polis Kuala Lumpur menubuhkan pasukan khas bagi mengekang jenayah ragut dalam usaha menjadikan ibu negara sebagai bandar selamat.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, pasukan khas yang ditubuhkan awal Februari itu melibatkan 200 anggota dan pegawai polis yang menjalankan operasi 24 jam sehari.

“Saya memandang serius kes ragut kerana ia boleh menyebabkan mangsa mengalami trauma. Saya nak orang rasa selamat bila berada di ibu negara…fokus kita nak lumpuhkan sindiket ini dan menjadikan Kuala Lumpur bandar selamat.

“Saya juga nasihatkan orang ramai jangan berjalan di tempat sunyi dan elakkan berjalan seorang diri dan memakai barang kemas atau berharga yang menarik perhatian penjenayah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di sini, hari ini.

Sementara itu, orang ramai yang mempunyai maklumat atau aduan berkaitan jenayah samun diminta menghubungi talian hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115999 atau mana-mana polis berdekatan.

– BERNAMA


Pengarang :