SELANGOR

Tingkat kawalan elak insiden tumpahan bahan kimia

OLEH NORHAYATI UMOR

BANGI, 15 FEB: Kerajaan Negeri akan mempertingkatkan kawalan keselamatan bagi mengelakkan kejadian tumpahan bahan kimia di Kampung Sungai Lalang, Semenyih daripada berulang.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, hal itu kerana kawasan terbabit terletak jauh di pedalaman dan sering berlaku unsur sabotaj.

“Kita berjaya menanganinya dengan pantas, sekali gus dapat mengelakkan bahan kimia itu daripada terus mengalir ke sungai atau kawasan takungan air.

“Walaupun kawasan berkenaan mempunyai kamera litar tertutup (CCTV), namun pemantuan akan dipertingkatkan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) di Pejabat Tanah dan Daerah Hulu Langat, di sini.

Mengulas berkenaan insiden itu, beliau berkata, ia jelas mengandungi unsur sabotaj ekoran 10 buah tong ditebuk dan diterbalikkan secara sengaja untuk dialirkan ke sungai.

Amirudin berkata, bahan kimia disyaki jenis ‘Ethylene Chloride’ itu juga adalah bahan yang boleh dijual dengan harga mahal dan digunakan kilang untuk proses kitar semula.

“Terima kasih kepada orang awam kerana membuat laporan dan menyelamatkan hampir 1 juta penduduk kawasan yang akan terkesan jika bahan pencemar itu ke sungai.

“Ini harus disiasat pihak polis dan setakat ini kita belum dapat mengenal pastinya, kita serahkan kepada pihak polis untuk menyiasat,” katanya.

Pada masa sama, beliau tidak menolak ia dilakukan pihak tertentu menjelang Pilihan Raya Kecil Semenyih yang berlangsung ketika ini.

Terdahulu, pemeriksaan di lokasi menemui 172 tong disyaki berisi pelbagai kimia usang dikhuatiri memasuki sungai lalu mencemarkan Sungai Semenyih, termasuk Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih yang membekalkan air kepada penduduk.

Sehubungan itu, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM480,000 bagi menangani dan membersihkan kawasan tumpahan bahan kimia terbabit.

 


Pengarang :